SHAH ALAM - Dua pasangan seiras teruja apabila berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Serdang pada Sabtu.
Khairun Najiha Abd Razak, 21, berkata, dia dan kakaknya, Khairun Najiyya Abd Razak, 21, tidak merancang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda bersama namun mereka menganggap ia sebagai satu rezeki.
Menurutnya, mereka tidak pernah berpisah sejak sekolah rendah sehingga tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kini akan memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di institusi berkenaan bersama-sama.
"Masing-masing tidak sangka dapat pergi temuduga dalam pengajian yang sama di universiti sama. Semoga kami dapat menyumbang sesuatu dan memberi kebaikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, sepasang lagi kembar seiras G Tinagaren dan abangnya, Tivakaren meluahkan rasa teruja apabila dapat menyambung pengajian bersama dalam Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian.
"Kami memang ada minat dan cita-cita yang sama sejak kecil untuk menjadi seorang Pereka Bentuk Dalaman.
"Apabila dapat ke UPM bersama dalam kursus yang sama sememangnya kami sangat gembira dan lebih memudahkan,” jelasnya.