BENTONG - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Isnin dijangka menjadi pembuka tirai kehangatan kempen pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang kini berbaki lima hari lagi.
Berdasarkan jemputan media, beliau dijadualkan hadir di Felda Chemomoi sempena Karnival Segalanya FELDA bagi Felda Wilayah Mempaga.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan hadir diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wang Rosdy Wan Ismail bagi merasmikan program tersebut pada sebelah petang.
Pada sebelah malam, Anwar akan menyertai Ceramah Mega Perpaduan Madani yang diadakan di Dataran Simpang Pelangai, yang juga lokasi Command Center Barisan Nasional (BN).
Berdasarkan poster dimuat naik di Facebook Pakatan Harapan (PH), program berkenaan juga akan dihadiri beberapa pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan termasuk calon BN PRK DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Antara pemimpin parti kerajaan yang dijangka hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Acara itu menjadinya sebagai pentas ceramah terbesar sejak kempen PRK berlangsung selepas penamaan calon 23 September lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati persiapan bagi kedua-dua acara tersebut juga giat dijalankan susulan kedua-dua lokasi turut berlangsung program lain pada Ahad.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dilapor bakal menampilkan tokoh politik berpengaruh bagi siri kempen PRK DUN Pelangai dalam misi membantu calon mereka, Kasim Samat merampas kerusi yang disandang BN itu.
Mereka terdiri daripada dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Difahamkan, kehadiran ketiga-tiga pemimpin itu di Pelangai bermula Selasa namun tiada sebarang pengesahan tarikh dan lokasi diterima setakat ini.
PRK DUN Pelangai diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam manakala PN sekali lagi menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.
Seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga disahkan bertanding.