Penjagaan dua anak dibincangkan bersama dua keluarga - Bapa mangsa

Iklan
Abu Bakar (tiga dari kanan) ditemui pengebumian anak kelimanya di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib Kampung Paya Tengah, Beseri, Padang Besar pada petang Ahad.

PADANG BESAR - Penjagaan dua anak lelaki kepada jururawat yang maut ditikam suaminya akan diputuskan selepas perbincangan diadakan antara dua keluarga tersebut.

Bapa mangsa, Abu Bakar Senapi, 64, berkata, mereka belum lagi memikirkan mengenai hak penjagaan cucunya yang berusia enam dan lapan tahun itu.

Iklan
Iklan

"Kami akan pergi berbincang dengan keluarga besan saya nanti dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, kita belum capai apa-apa keputusan lagi,” katanya selepas ditemui selepas pengebumian jenazah Munirah Abu Bakar, 31, di Tanah Perkuburan Islam Keluarga Haji Talib Kampung Paya Tengah, Beseri, dekat sini pada petang Ahad.

Iklan

Abu Bakar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan bermula proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sehinggalah ke proses pengebumian jenazah anak kelima daripada enam adik-beradik itu.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pesara tentera menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menikam maut isterinya dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau.

Iklan

Isteri suspek berusia 31 tahun tersebut yang merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.

Majistret Mahkamah Kangar, Siti Norhasliza Md Ali kemudiannya mengeluarkan perintah reman bermula Ahad hingga 7 Oktober ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kangar.