Laluan getir menanti Zii Jia, Tze Yong cabar bekas juara dunia

Iklan
Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia perlu berada dalam tahap terbaik bagi mengelak tersingkir awal di pusingan pertama acara perseorangan badminton pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, bermula di sini, esok.

Berdasarkan undian, bekas juara All England berusia 25 tahun itu akan membuka kempen pada penampilan kedua Sukan Asia dengan menentang Angus Ng Ka Long dari Hong Kong di Gimnasium Binjiang.

Iklan
Iklan

Angus Ng, berada dua anak tangga di bawah Zii Jii, di ranking ke-18 dunia`, namun memiliki rekod pertembungan lebih baik memihak kepada wakil Hong Kong itu iaitu 4 kemenangan dalam lima pertemuan.

Bagaimanapun, pemenang tersebut mempunyai laluan mudah ke pusingan 16 apabila diramal menentang pemain Timor Leste, Costa Gusmao De Jesus pada pusingan kedua.

Iklan

Seorang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang mendapat 'bye’ pada pusingan pertama, akan membuka langkah dengan menentang bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura, yang turut mendapat 'bye’ pada pusingan pertama.

Tze Yong, 23, mempunyai rekod 3-1 dengan Kean Yew.

Iklan

Sementara itu, bekas juara beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan dengan wakil Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut akan menentang wakil Taiwan yang juga juara Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Beregu utama wanita negara, Peraly Tan-M. Thinaah mendapat laluan mudah di pusingan pembukaan apabila diundi menentang beregu Singapura, Jin Yu Jia- Crystal Wong Jia Ying manakala beregu negara, Go Pei Kee-Valeree Siow berdepan dengan wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain muda negara, K. Letshanaa mendapat 'bye’ pada pusingan pertama dan akan menentang bekas juara Sukan SEA, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand pada pusingan kedua.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei akan membuka kempen dengan menentang Ghazala Siddique dari Pakistan, esok.

Dalam pada itu, dua beregu campuran negara dijangka tidak mendapati masalah untuk melangkah ke pusingan kedua apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang pasangan Singapura, Andy Kwek Jun Liang- Crystal Wong manakala Goh Soon Huat- Shevon Jemie Lai berdepan wakil India, Rohan Kapoor-Reddy Sikki. - Bernama