PENGENDALI Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou mengakui dia bukan peminat video pembantu pengadil (VAR) apabila beranggapan teknologi itu merumitkan keadaan selepas Spurs mendapat manfaat daripada kesilapan pegawai perlawanan ketika menentang Liverpool, baru-baru ini.
Kumpulan pengadil Pegawai Perlawanan Permainan Profesional Ltd sebelum itu mengakui keputusan pegawai pertandingan adalah tidak tepat apabila tidak membenarkan gol pemain sayap Liverpool, Luis Diaz pada separuh masa pertama perlawanan ketika Tottenham menang 2-1 di Stadium Tottenham Hotspurs, apabila menyifatkannya sebagai kesilapan manusia.
Iklan
Iklan
"Sejujurnya saya tidak bukan benar-benar peminat VAR sejak pertama kali ia muncul.
"Bukan atas sebab lain selain yang saya fikir ia merumitkan permainan bola sepak yang saya fikir agak jelas pada masa lalu, tetapi saya dapat melihat pada masa sama mengapa teknologi tidak dapat dielakkan untuk masuk arena sukan ini.
"Namun kita juga perlu menanganinya kerana permainan ini dipenuhi dengan sejarah keputusan pengadil yang tidak betul, tetapi kami semua menerima bahawa ia adalah sebahagian daripada permainan kerana kami berurusan dengan manusia,” kata Postecoglou.
Postecoglou, yang sebelum ini menguruskan kelab Liga Perdana Scotland, Celtic, memberitahu bahawa pendokong berada dalam tanggapan salah apabila menyifatkan teknologi tersebut bebas kesilapan.
"Apabila anda meletakkan harapan yang tinggi pada sesuatu, ia selalunya akan gagal, seperti ketika orang berfikir bahawa VAR akan menjadi penyelesaian sempurna kepada sesuatu masalah, namun sebenarnya itu tidak akan berlaku,” katanya.