PRK Pelangai: Liputan kempen hampir 90 peratus - Cikgu Kasim

Iklan
Cikgu Kasim mengadakan kunjungan dan bertemu peniaga di pasar malam di Felda, di sini pada petang Ahad.

BENTONG - Berbaki enam hari untuk hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, calon Perikatan Nasional (PN) telah mencapai 90 peratus berkempen bertemu pengundinya.

Calonnya, Kasim Samat berkata, kempen beliau turut meliputi kawasan Felda, Kampung Tradisional dan kampung Orang Asli, Cina dan India di DUN berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini kempen berjalan lancar dan penerimaan pengundi sangat positif berbanding ketika beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Saya kira (kempen) sudah (capai) 90 peratus, malahan (ada beberapa tempat) sudah tiga kali dikunjungi oleh jentera parti.

Iklan

"Penerimaan masyarakat kali ini sangat berbeza dan tiada masalah, mereka memberi jawapan menggembirakan kepada kami (sewaktu) menyantuni di semua pengundi (di pelbagai) peringkat umur," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan dan bertemu peniaga di pasar malam di Felda Chemomoi, di sini pada petang Ahad.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Cikgu Kasim berkata, kempen lebih tertumpu kepada ziarah dari rumah ke rumah berbanding mengadakan program.

Iklan

Tegasnya, kaedah ziarah rumah ke rumah adalah lebih baik, sekali gus menepis dakwaan kempen PN tidak berjalan.

"Kalau ceramah umum atau kelompok, saya tidak yakin ramai masyarakat tempatan akan hadir, sebab kawasan ini kubu kuat UMNO. Jadi, mereka segan hendak muncul (tunjukkan diri) pada ceramah kerana mungkin malu pada rakan-rakan yang masih ada di pihak sana," ujarnya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Cikgu Kasim, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Pada 7 Oktober nanti, seramai 16,456 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi.