BENTONG - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan semakin risau melihat suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang dianggap menyebelahi Perikatan Nasional (PN) selepas seminggu kempen berjalan.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kegusaran itu dapat dilihat apabila terdapat kehadiran pemimpin tertinggi Kerajaan Madani terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penganjuran program dan kempen di DUN Pelangai.
Menurutnya, secara tradisinya Perdana Menteri tidak akan turut serta dalam PRK dan cukup sekadar timbalan perdana menteri dan menteri Kabinet sahaja yang melakukan tugas terbabit.
"Kita (pernah) ada sejarah di mana PRK dimenangi pembangkang walaupun menteri ramai turun, ini kerana rakyat Malaysia sudah matang untuk memilih" kata.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan bersama calon PN, Kasim Samat di pasar malam Felda Chemomoi pada Ahad.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu beranggapan kaedah seperti itu tidak memberi sebarang kesan kepada pengundi di Pelangai
"(Kalau) dulu betullah, pembangkang tiada peluang untuk (menang dalam) PRK (bila ada kempen dari PM).
"Tapi, sekarang orang kata, gelanggang bola itu (sudah) saksama, siapa yang dapat sokongan dia adakan menang," ujar beliau lagi.
Menjawab pertanyaan kesukaran PN untuk mendapatkan undi daripada masyarakat Cina dan India di Pelangai, Saifuddin berkata, pasukan dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah mula bekerja di tiga peti undi yang majoriti kaum berkenaan di kawasan itu.
"Mereka telah menyampaikan risalah yang ditulis dalam bahasa Mandarin, dan Tamil, selain beberapa acara tertentu yang akan dianjurkan dalam masa terdekat.
"Datuk Dr Dominic Lau (Presiden parti Gerakan) akan turun dan menyampaikan ceramah di sana. Malah kita ada cara tersendiri untuk tawan hati mereka," katanya.