SHAH ALAM - Demi memartabatkan seni dan budaya bangsa, Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya) dan Persatuan Legasi Cinta Seni menganjurkan Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 pada 14 Oktober ini.
Bertemakan ‘Ini Warisan Kita’, festival kesenian dikelolakan oleh Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) bakal mengetengahkan pelbagai persembahan rakyat, antaranya teater muzikal yang menggabung seni tari dengan alunan muzik tradisional.
Penyelarasnya, Nik Affieza Nik Arif berkata, program bakal diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula jam 8 pagi.
"Program dimulakan dengan tarian zumba (senamrobik), diikuti pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan tradisional dan aktiviti jualan di khemah pameran,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Nik Affieza, tiada sebarang bayaran penyertaan dikenakan sebaliknya pemenang bakal menerima wang tunai selain hadiah cenderahati kepada pengunjung bertuah.
"Pendaftaran akan dibuka seawal jam 7 pagi dengan 50 pendaftaran terawal akan menerima baju T percuma.
"Festival anjuran bersama Sinar Harian, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kumpulan Karangkraf, Kelab Bahasa dan Budaya (UniKL-MIAT) turut disokong Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya,” ujar beliau.
Tambah Nik Affieza, acara kemuncak festival bermula jam 9 malam dengan pementasan teater Mak Yong mengisahkan Raja Nilam Agong yang mahu mengembara ke seluruh negara bagi mengenali seni dan budaya rakyat jelata.
Untuk pertanyaan boleh menghubungi Nik Affieza di talian 017-239 9549 atau emel ke admin@mysinar.org.