SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dengan menanam 327 anak pokok di Sungai Panjang, Sabak Bernam baru-baru ini.
Inisiatif yang dilaksanakan di Pusat Konservasi Kelip-kelip Sungai Panjang 3.0 itu turut melibatkan kerjasama Balai Penghulu Mukim Sungai Panjang serta Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor.
Daripada jumlah keseluruhan anak pokok yang ditanam, 100 daripadanya dari spesies berembang manakala 70 lagi merupakan pokok sagu diikuti nipah (30), salak (20), limau (100) serta 7 anak pokok durian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Abdul Rahman Ishak berkata, usaha itu merupakan komitmen KSSB untu kmemberi pendedahan kepada masyarakat terhadap penjagaan serta pemuliharaan ekosistem dan habitat kelip-kelip.
Ini kerana katanya, kelip-kelip merupakan spesies yang amat peka serta sensitif dengan perubahan alam sekitar manakala populasinya difahamkan akan mengalami pengurangan sekiranya ekosistem dan habitatnya terancam.
"Justeru, adalah diharapkan dengan inisiatif penanaman pokok ini dapat memastikan ekosistem dan habitat kelip-kelip ini dapat dijaga untuk generasi masa depan.
"Malahan, program seperti ini juga dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman baharu kepada semua yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain penanaman anak pokok, KSSB turut melepaskan 2,000 ekor anak ikan lampam ke dalam Sungai Bernam di Sungai Panjang.
Selain kakitangan dan pelajar latihan industri KSSB, turut menjayakan program penanaman anak pokok itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Malah, program itu turut dijayakan dengan penyertaan daripada para anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam.
Pada masa sama, program itu turut disertai oleh komuniti tempatan, para pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya serta para pelajar program pertukaran dari Sekolah Menengah Pertama (SMP) Islam Baitul Izzah, Nganjuk, Surabaya, Indonesia.