Kerap berdoa antara tanda Muslim itu dianugerahkan petunjuk ALLAH

Iklan
JANGAN pernah berhenti atau lelah untuk berdoa kepada ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

WALAUPUN kerap kali kita menerima nasihat agar berdoa dan terus bermunajat, jangan sesekali mengabaikan pesanan berkenaan dan menganggapnya kurang penting.

Ini kerana ada yang memandang ringan peringatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Asyik suruh aku berdoa saja, macamlah aku tak doa selama ini.”

Jika ada lintasan sebegitu dalam hati kita, segera nyahkan jauh-jauh.

Iklan

Sinar Islam ada sebab yang kukuh. Mengertilah doa juga merupakan satu ibadah.

Malah, kerap berdoa sebenarnya merupakan antara tanda-tanda seseorang itu mendapat petunjuk ALLAH SWT walaupun permohonannya tadi belum dimakbulkan.

Iklan

Demikian fakta yang dikemukakan oleh pendakwah dan penulis buku kerohanian, Ustaz Addien Abdul Kadir menerusi bebenang dalam platform X miliknya.

Ustaz Addien

Jelas beliau, kenyataan tersebut bukan omongan kosong kerana ia pernah dilontarkan oleh khalifah Islam kedua, Saidina Umar al-Khattab.

"Seseorang yang jarang dan susah berdoa sebenarnya tanda dia jauh daripada petunjuk ALLAH,” coretnya.

Menurut Ustaz Addien, dalam sehari, terdapat lebih 100 doa yang meliputi apa sahaja perbuatan dilakukan manusia bermula bangun tidur sehinggalah mereka kembali melelapkan mata.

"Bayangkan orang yang dalam seharinya, satu doa pun dia tak minta kepada Tuhan.

"Tergerak hati hendak berdoa rupanya anugerah besar yang kita mungkin tak sedar,” ungkapnya.

Sesibuk manapun, luangkanlah sedikit masa untuk kita berdoa kepada-NYA. Mohon dan mintalah apa sahaja kepada Sang Pencipta.

KONSISTEN berdoa merupakan taufik daripada ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Malulah kita kepada Rasulullah SAW yang tidak pernah jemu dan lelah berdoa walaupun Baginda insan yang maksum dan dijamin masuk ke dalam syurga.

Paling tidak pun, usai solat, berdoa dan bermunajatlah kepada ALLAH SWT. Jangan terus ‘cabut’ begitu sahaja.