KUANTAN - Hati ibu bapa mana yang tidak bangga melihat anak yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh berjaya ke menara gading.
Begitu juga dengan, Tahir Untong, 57, bapa kepada Nurbatrisyia Husna Tahir, 19, mahasiswi baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mendaftar di universiti itu, Sabtu lalu.
Tahir bersama keluarganya sanggup datang dari Lawas, Sarawak menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur sebelum menaiki bas ke Kuantan bagi memastikan anaknya itu dapat mendaftar masuk ke UMPSA bagi mengikuti pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan kepujian.
Nurbatrisyia berkata, ayahnya yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Merapok, Lawas teruja untuk menemaninya walaupun terpaksa datang dari jauh.
"Saya terharu dengan pengorbanan ayah dan keluarga apabila mereka juga sanggup berjalan kaki tengah panas bagi memastikan saya dapat mendaftar pada hari itu.
Kisah keluarga Nurbatrisyia mendapat perhatian apabila klip video mereka berjalan kaki memasuki UMPSA pada hari pendaftaran Sabtu lalu tular di media sosial.
Rakaman berdurasi satu minit dan 13 saat itu menyentuh hati netizen.
Menerusi video itu, kelihatan pihak universiti bergegas mendapatkan kenderaan untuk membantu keluarga berkenaan membawa bagasi masuk ke dalam kampus.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh dengan tindakan keluarga itu kerana sanggup berpanas untuk menghantar anak ke universiti.
"Semoga dimurahkan rezeki seluas langit dan bumi buat ibu ayah dan anak ini, belajar rajin-rajin. Semoga berjaya nanti insya-ALLAH,” kata salah seorang netizen menerusi komennya.
Sementara itu, dua pasangan kembar antara yang mencuri tumpuan pada hari pendaftaran mahasiswa baharu UMPSA bagi Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024.
Pasangan kembar itu, Sarah Antasha Shahren dan adiknya Farah Antasha Shahren, 20, mendaftar di UMPSA Kampus Gambang manakala Noora Haidah Azmi dan adiknya, Noora Hanim Azmi pula mendaftar di UMPSA Pekan.
Sarah Antasha dan Farah Antasha yang berasal dari Puchong, Selangor bersyukur apabila impian mereka untuk menyambung pengajian di UMPSA bersama tercapai.
"Kami tidak pernah berpisah sejak kecil lagi, jadi apabila ditawarkan ke universiti yang sama, ia sesuatu yang amat menggembirakan.
"Kedua-dua ibu bapa juga bersyukur apabila kami ditempatkan di universiti yang sama walaupun bidang pengajian berbeza," katanya.
Sarah Antasha ditawarkan pengajian Program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal manakala adiknya dalam program Sarjana Muda Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pendaftaran mahasiswa baharu berjalan lancar di kampus Pekan dan Gambang dibantu petugas dari pelbagai jabatan dan sukarelawan melibatkan 120 Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar (PEKA) serta fasilitator Minggu Induksi Siswa (MINDS).
Beliau berkata, pihak UMPSA melalui Unit Kebajikan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa berhubung dengan pelajar baharu termasuklah mengurus berkaitan kemudahan pengangkutan pelajar di lapangan terbang di Kuantan, Terminal Bas Kuantan dan mengambil mereka dari rumah bagi yang memerlukan.