Kes polis larikan orang: Punca disyaki berkait integriti

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Allaudeen

KUALA LUMPUR - Motif lima anggota polis yang ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai di Desa Petaling, di sini, Selasa lalu, disyaki kurang integriti dan ada kepentingan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan berkaitan kes itu.

Iklan
Iklan

"Memandangkan kes melibatkan anggota dan pegawai polis, kertas siasatan akan diserahkan kepada Bukit Aman, sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program 'Back to School' di Victoria Institution, di sini, pada Isnin.

Allaudeen berkata, setakat ini, pihaknya belum menggantung tugas kesemua anggota polis itu.

Iklan

Pada Jumaat lalu, media melaporkan enam lelaki termasuk lima anggota polis ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang pada hari kejadian.

Iklan

Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan.