Isu kotak makanan: Pas Perak kesal ada pusat khidmat ADUN tampal pelekat

Iklan
Razman

IPOH - Pas Perak kesal dengan tindakan beberapa pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menampal pelekat lambang parti pada kotak makanan Yayasan Perak sehingga menyebabkan bantuan berkenaan tidak lagi disalurkan melalui pusat khidmat wakil rakyat.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya sangat jelas berkaitan matlamat dan tujuan pengedaran kotak makanan tersebut kerana Pas sendiri terlibat dalam merangka program itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun beliau menyifatkan tindakan menghukum secara umum satu kesalahan terpencil adalah bersifat tidak adil disebabkan tindakan segelintir pihak yang menyalahgunakan bantuan kotak makanan tersebut.

"Berdasarkan gambar yang tular di media sosial, dikesan memang terdapat pusat khidmat ADUN yang menampal gambar lain di kotak yang diedarkan Yayasan Perak terutama dari DAP. Apakah ia benar atau tidak, memerlukan siasatan lanjut.

Iklan

"Jika dakwaan Yayasan Perak itu benar, sewajarnya pusat ADUN terbabit diberikan peringatan atau tindakan dan bukannya menghukum kesemua ADUN terutama dari pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Razman berkata, Pas Perak berpendirian agar bantuan kotak makanan itu perlu terus diedarkan melalui pusat khidmat ADUN seperti sebelum ini kerana pejabat wakil rakyat itu merupakan tempat rakyat mengadu.

Iklan

Menurutnya, kawasan yang diwakili oleh Pas adalah majoriti Melayu Muslim yang wajar dibantu jika benar kerajaan negeri tidak menganaktirikan dan menghukum pengundi majoriti bumiputera.

"Pemberian melalui NGO lebih terdedah kepada pelbagai masalah kerana NGO tidak mempunyai tanggungjawab langsung kepada rakyat berbanding pusat khidmat ADUN yang menjadi tempat rujukan masalah rakyat,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Perak.

Sementara itu, Razman juga berharap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengekalkan semua peruntukan serta bantuan melalui ADUN tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Pada 29 September lalu, Yayasan Perak menjelaskan pihaknya tidak akan menyalurkan bantuan kotak makanan melalui pusat khidmat ADUN selepas menerima aduan terdapat pihak tertentu yang membungkus semula serta menampal pelekat tertera logo parti politik.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim berkata, mulai Oktober pihaknya akan mengagihkan terus kotak makanan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan dengan bantuan NGO.