JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengakui pernah cuba diperdaya oleh scammer yang menyamar sebagai pihak berkuasa baru-baru ini.
Menurut Kamarul Zaman, sindiket berkenaan bukan saja mengetahui nombor telefonnya malah juga alamatnya.
Malah katanya, ketika menerima panggilan daripada scammer tersebut, panggilan tersebut kononnya disambungkan kepada pegawai penyiasat.
"Kes-kes melibatkan scammer ini semakin membimbangkan dan saya sendiri pernah dihubungi mereka ini.
"Dalam suatu kes scammer yang membabitkan penipuan ratusan ribu, tindakan anak mangsa berkongsi maklumat berkaitan bapanya apabila menerima panggilan memudahkan scammer memperdaya mangsa (bapa).
Tambah Kamarul Zaman, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial turut merekodkan sebanyak 3,185 kes berkaitan scammer dilaporkan di sepanjang tempoh Januari hingga September 2023 berbanding 2,403 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Katanya, data berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 782 kes atau 32.5 peratus dan daripada 3,185 kes, jenayah penipuan atas talian merupakan penyumbang terbesar melibatkan 2,614 kes (82.1 peratus)
"Antara kes yang dikategorikan sebagai jenayah atas talian adalah pembelian atas talian, penipuan menerusi telefon, pelaburan tidak wujud dan tawaran pekerjaan.
"Oleh itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dari semasa ke semasa akan berusaha menyampaikan kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai.
"Pada masa yang sama, pihak JSJK juga berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Bank Negara Malaysia dalam usaha untuk mendidik masyarakat agar lebih peka akan isu jenayah semasa terutamanya membabitkan scammer," katanya.