Populariti bukan keutamaan Nazeera Sardi

Iklan
Tidak hanya sibuk di lapangan seni, si cantik manis ini juga dalam proses menyempurnakan pengajian di peringkat doktor falsafah.

JIKA diukur penglibatan dalam industri seni, sudah lebih sedekad sebenarnya Nazeera Sardi mengatur langkah sebagai pelakon dan juga pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, dek bersih daripada kontroversi, kehadiran pemilik nama sebenar Siti Nazirah Sardi seperti dipandang sepi.

Iklan
Iklan

Tidak menganggap populariti sebagai satu masalah besar, wanita berusia 37 tahun itu tetap bersyukur kerana rezeki dalam bidang seni tidak pernah putus.

Malah, anak kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan itu percaya, beliau akan dikenali apabila tiba masa dan rezeki yang sudah tertulis buatnya.

Iklan

"Bagi saya setiap artis itu punya cara masing-masing untuk dikenali. Saya melalui perjalanan seni saya secara normal. Kalau ada benda yang perlu saya beritahu, saya akan beritahu.

"Cuma sejak awal menjejakkan kaki dalam industri seni, saya tidak menetapkan bahawa orang harus mengenali saya kerana ini adalah kerjaya saya.

Iklan

"Bagi saya kalau orang kenal, saya bersyukur. Kalau belum kenal pun saya tetap bersyukur dan percaya suatu hari nanti, orang akan kenal siapa Nazeera Sardi,” katanya kepada SinarPlus.

Nazeera bersyukur rezeki dalam bidang seni tidak pernah putus.

Nazeera berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaharu lakonannya, Pagari Bulan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Tidak hanya bersandar kepada bidang lakonan semata-mata, anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik itu mengisi masa terluang dengan berniaga dan menuntut ilmu.

Jelas Nazeera, beliau kini sedang sibuk menyempurnakan tesis bagi pengajian doktor falsafah.

"Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) di Universiti Putra Malaysia pada 2018, rasa serik juga untuk sambung belajar lagi, tetapi belajar beri saya satu kepuasan yang berbeza.

"Saya lebih menghargai ilmu dan mana tahu, pada masa depan saya boleh gunakan ijazah ini untuk sesuatu yang lebih baik seperti mengajar pula. Walaupun lalui perjalanan berliku dan sukar, saya tetap menikmati momen itu. Cuma saya harus berlawan dengan masa,” jelasnya.

Demi Bulan

Dalam pada itu, berkongsi keterujaannya membintangi filem arahan Raja Mukhriz iaitu Pagari Bulan, Nazeera berkata, beliau berdepan banyak cabaran demi menjayakan watak utama sebagai Bulan.

Selain perlu berdialek bahasa lama Kelantan, aktres itu juga perlu melakukan beberapa babak aksi sendiri.

"Faktor utama yang membuatkan saya tertarik membintangi filem ini adalah kerana ia mengangkat tema kuasa wanita dan ada mesej yang ingin disampaikan.

"Karakter Bulan ini juga kuat, berani dan sentiasa mahu menjaga apa yang di sekelilingnya. Cuma saya tak nafikan cabaran utamanya adalah untuk berdialek bahasa Kelantan kerana saya anak jati Negeri Sembilan dan tidak pernah menjayakan watak seni mempertahankan diri,” ujarnya yang mengakui mempelajari banyak perkara baharu.

Pagari Bulan beri cabaran dan pengalaman berbeza buat Nazeera.

Justeru, demi memberikan yang terbaik, Nazeera mengambil inisiatif untuk mempelajari dialek Kelantan dan aksi seni mempertahankan diri bersama pelakon dan memasuki kelas khas.

"Saya belajar dialek Kelantan dengan pelakon, kawan baik saya dan masuk kelas. Walaupun susah, alhamdulillah tidak sampai tiga minggu saya sudah boleh menguasai dengan baik.

"Untuk babak aksi pula, saya banyak berlatih dengan pelakon lain seperti Trisha Ooi, Andy Teh dan abang Azlan Komeng,” katanya.

Tambah Nazeera, beliau juga sudah bersedia dengan apa sahaja maklum balas daripada penonton yang menyaksikan Pagari Bulan kelak.

"Saya terbuka menerima apa juga komen kerana setiap orang ada pandangan masing-masing.

"Kalau filem ini menjadi kayu pengukur sama ada saya akan lebih dikenali atau tidak selepas ini pun saya tetap bersedia.

"Walaupun sebagai pelakon, normal ada rasa tidak puas hati melihat lakonan sendiri, tetapi saya sudah beri yang terbaik untuk naskhah ini,” ujarnya.

Pagari Bulan akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 Oktober ini.