Anak jururawat maut ditikam akan diberi kaunseling

Iklan
Aiman Athirah

ALOR SETAR - Anak kepada jururawat yang maut ditikam oleh suaminya di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis akan diberikan sesi kaunseling untuk berdepan trauma yang menimpa ibu bapa mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, sesi kaunseling tersebut akan diadakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPWKM juga akan melihat kesesuaian berhubung penjaga yang paling layak memelihara dua anak lelaki pasangan tersebut berusia enam dan lapan tahun, yang mana akan diputuskan secara bersama oleh JKM dan ahli keluarga.

"Mereka akan melalui proses seperti mana mangsa kanak-kanak lain, KPWKM juga akan meneliti hak penjagaan yang paling layak dan sesuai selain melihat kepada kesan psikologi yang mungkin mereka lalui,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di sini pada Isnin.

Iklan

Aiman Athirah berkata, pasukan psikososial KPWKM akan membantu kanak-kanak berkenaan termasuk keluarga kepada jururawat terbabit.

"Kita di peringkat kerajaan akan menawarkan kemungkinan bantuan kanak-kanak sepanjang usia mereka di bawah 18 tahun,” ujarnya.

Iklan

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pesara tentera menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menikam maut isterinya dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau.

Mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.

Dalam pada itu, Aiman Athirah menasihati golongan wanita agar menghubungi KPWKM atau Talian Kasih 15999 sekiranya berhadapan dengan masalah rumah tangga.

"Kita boleh menawarkan bantuan dan petunjuk-petunjuk. Masyarakat kita sedang menghadapi tribulasi kekacauan, minda, mental, perasaan namun jangan biarkan diri sendiri menanggung.

"KPWKM mempunyai beberapa program antaranya MATAHARI (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan IRIS (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) untuk memberikan pendidikan kepada wanita tentang hak-hak mereka dan langkah yang harus diambil apabila berhadapan dengan keluarga yang berantakan atau keganasan rumah tangga,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kaunselor terlatih bukan sahaja akan menasihati wanita atau isteri malah golongan suami yang mempunyai masalah juga akan dibantu.

"Sebab tu kita mahu komuniti sentiasa hubungi KPWKM dan Talian Kasih 15999 jika berdepan kekeliruan atau gangguan yang memerlukan perkhidmatan, kaunselor untuk menyelesaikan masalah mereka. Jangan pendam kerana kaunselor terlatih boleh membantu,” jelasnya.