KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, memerintahkan saman pemula (OS) oleh Tan Sri Tommy Thomas terhadap Pasukan Petugas Khas (STF) dan Kerajaan Malaysia dipindahkan dan diputuskan ke mahkamah lain, menerusi perbicaraan saman sivil.
Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian ketika prosiding keputusan permohonan STF dan kerajaan bagi membatalkan OS oleh bekas Peguan Negara itu.
Saman terbabit ialah membabitkan laporan siasatan kandungan memoir bekas Peguam Negara itu, bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness' yang mana, Tommy memohon perisytiharan bahawa dokumen laporan berkenaan tidak sah serta bertentangan undang-undang.
Ketika prosiding, Wan Ahmad Farid berkata, mahkamah belum bersedia untuk membuat dapatan berhubung permohonan saman berkenaan.
"Saya mengarahkan, OS ini ditukar kepada saman sivil untuk didengar dan diputuskan dalam perbicaraan penuh.
"Saya akan mendapatkan arahan daripada hakim pengurusan ke mahkamah lain, yang mana OS ini akan dipindahkan kerana ia akan didengar oleh bahagian sivil,” katanya, ketika prosiding yang dibuat secara dalam talian.
Susulan itu beliau berkata, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai keperlembagaan atau kesahihan STF kerana ia perlu dibincangkan di mahkamah sivil.
Pada 27 Oktober tahun lalu, Tommy memfailkan OS dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk 'Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness' adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.
Beliau yang berkhidmat selaku Peguam Negara antara Jun 2018 dan Februari 2020, menamakan pengerusi dan ahli STF serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Mereka adalah Pengerusi, Datuk Seri JC Fong dan ahlinya, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.
Tommy turut memohon perisytiharan bahawa STF adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.
Selain itu, turut dipohon ialah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh Kerajaan, telah melanggar haknya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Laporan STF yang dinyahklasifikasikan kerajaan pada 13 Oktober tahun lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.
Ia adalah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.
Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.
Begitu juga, Jabatan Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya.