GERIK - Hilang kawalan menjadi punca nahas sebuah kereta dan van hingga mengorbankan satu nyawa dan 11 yang lain cedera di Kilometer 23 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Fasa 2 Gerik-Kupang dekat sini awal pagi Isnin.
Kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Kenari dinaiki dua individu bersama sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 orang.
Mangsa Hasan Hamid, 60, merupakan pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, semasa kejadian, mangsa bersama seorang wanita berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Kupang menghala ke Gerik.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan tidak sempat mengelak sebuah van yang hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan.
"Pelanggaran menyebabkan van dipandu lelaki berusia 21 tahun itu terbalik. Sembilan penumpang kenderaan itu berusia antara tujuh hingga 44 tahun terselamat.
"Pemandu kereta bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kejadian mengakibatkan enam mangsa dikejarkan ke Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan manakala lima lagi luka ringan.
Katanya, siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis untuk membantu siasatan," katanya.