Kerajaan alu-alukan bakal jemaah haji penuhi konsep istito'ah

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengalu-alukan bakal jemaah haji pada masa akan datang memenuhi konsep ‘istito’ah’ atau berkemampuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, perkara tersebut dapat membantu Tabung Haji (TH) menumpukan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Iklan
Iklan

"Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji yang dikenakan bukan sahaja menghayati konsep Istito’ah, tetapi insya-Allah akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” katanya pada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 1444H/2023M di sini hari ini.

Menurutnya, jemaah haji yang memenuhi konsep tersebut juga akan membantu menjamin kelestarian TH agar institusi yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam di negara ini dapat kekal berkhidmat untuk generasi akan datang.

Iklan

Beliau berkata, demikian kerana kos haji dijangka terus meningkat atas faktor yang di luar kawalan TH seperti kos penginapan, pengangkutan, penerbangan, makan minum dan lain-lain caj perkhidmatan.

"Pada ketika ini, secara purata kos kenaikan haji meningkat lima hingga enam peratus, dijangkakan trend itu masih ada dan ini luar kawalan kita,” katanya.

Iklan

Mohd Na’im berkata, TH turut menanggung kos tidak langsung yang diberikan secara percuma kepada semua jemaah haji seperti penganjuran kursus bimbingan haji di setiap negeri, penerbitan buku dan risalah panduan haji, kos petugas haji, perkhidmatan perubatan, prasarana stesen berlepas dan pelbagai perkhidmatan tambah nilai lain untuk keselesaan jemaah.

Ditanya mengenai tarikh perbincangan TH dengan Kementerian Kewangan MOF, beliau berkata, Pengerusi Lembaga TH Tan Sri Azman Mokhtar telah memulakan perbincangan tidak rasmi bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan MOF Datuk Johan Mahmood Merican pada Jumaat lepas.

"Hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk melihat TH dan MOF memulakan perbincangan telah dimulakan. Selain itu, hasil daripada perbincangan tersebut telah bersetuju untuk mewujudkan satu Pasukan Petugas dalam TH bagi mengenal pasti aset yang terlibat untuk dikembalikan.

"Saya percaya perbincangan ini akan memastikan kepentingan kerajaan dan pendeposit TH dapat dilindungi,” katanya.

Dalam majlis itu, TH menerima sumbangan bernilai RM3.3 juta daripada 29 organisasi bagi melancarkan urusan ibadah jemaah Haji Malaysia pada 2023M/ 1444H melalui program Sahabat Korporat TH

Mohd Na’im berkata, sumbangan tersebut dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian. - Bernama