JOHOR BAHRU - Penduduk di bandar raya ini didapati masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa meskipun tersenarai antara lokasi yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru pada Isnin mendapati keadaan jerebu bukanlah penghalang mereka menjalankan aktiviti harian seperti keluar bekerja dan makan di gerai atau restoran.
Menurut seorang kakitangan swasta, Junaidi Tuah, 50, keadaan yang agak berjerebu ketika ini disifatkannya tidak begitu teruk.
Malah katanya, sehingga kini tidak ada sebarang laporan mengenai perkara-perkara buruk yang berlaku akibat cuaca berjerebu tersebut.
"Bagi saya, taklah terasa sangat dengan jerebu ni dan dalam sebulan ni pun bagi saya tak lah teruk sangat pun.
Untuk rekod, setakat 4 petang Ahad, IPU di Larkin Johor merekodkan bacaan tertinggi dengan 155.
Pendapat itu turut dipersetujui oleh Mohd Ali Matwi, 30, yang menyifatkan keadaan berjerebu masih belum begitu membahayakan orang ramai.
Bagaimanapun Mohd Ali mengakui bahawa cuaca ketika ini memang agak panas dan menjadikannya cepat berasa dahaga.
"Walaupun sekarang ni masih belum apa-apa lagi (terkawal), tapi saya akui cuaca memang agak panas sekarang.
"Saya pun cepat berasa dahaga sebab tekak terasa kering walaupun tidak melakukan aktiviti harian.
"Apa pun keadaan ketika ini dilihat masih biasa-biasa lagi dan semoga keadaan seperti ini berakhir segera," katanya.
Sementara itu bagi seorang pengusaha restoran di Larkin, Mohamad Muneer Abdul Majeeed berkata, restorannya tetap beroperasi seperti biasa dalam cuaca berjerebu ketika ini.
Malah katanya, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke restorannya akan membuat pesanan makan seperti biasa
dan tidak ada berlaku pesanan air 'luar biasa' daripada pelanggan.
"Sekarang ni cuaca pun berjerebu, tapi customer (pelanggan) tetap berkunjung ke restoran saya.
"Walaupun sekarang cuaca agak panas, namun customer masih order air macam biasa, paling tinggi pun dua gelas sahaja untuk seorang... belum ada lagi yang pesan lebih daripada tu," katanya.