PUTRAJAYA - Sebanyak 243 titik panas dikesan di Indonesia berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tiada titik panas dikesan di negara ini.
"Titik panas itu melibatkan 121 di Sumatera dan 122 di Kalimantan Indonesia," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada Ahad melaporkan rantau selatan ASEAN mengalami keadaan mendung kecuali di bahagian selatan Sumatera, selatan Kalimantan, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil mengalami keadaan kering.
Menurut Wan Abdul Latiff, sebanyak 14 stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 12 tengah hari Isnin.
Cheras dan Nilai merekodkan bacaan IPU tertinggi dengan 163, disusuli Seremban 157, Shah Alam (156), Banting (156), Putrajaya (155), Petaling Jaya (155), Port Dickson (155), Taiping (151), Batu Muda (151), Bukit Rambai (151), Johan Setia (151), Banting (136) dan Klang (134) serta Alor Gajah (133).
Ujar beliau, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
"Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras
tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara," katanya.
Sementara itu, pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, pertanian dan industri.