KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung proses penyerahan semula aset.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebarang bentuk perbincangan yang dijalankan nanti akan memastikan kepentingan kerajaan dan pendeposit Tabung Haji diutamakan.
Iklan
Iklan
"Saya percaya bahagian pelaburan TH akan memainkan peranan penting dalam perbincangan ini," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M, Kompleks TH, di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset TH yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan pada 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal dan melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu.