628 pelajar asnaf terima sumbangan zakat RM314,000

Iklan
Sebahagian pelajar menerima sumbangan zakat dalam sebuah majlis yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, baru-baru ini.

KUALA NERUS - Seramai 628 pelajar kurang berkemampuan yang baru mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini menerima sumbangan zakat berjumlah RM314,000.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd. Ghaffar berkata, antara penerima terdiri dalam kalangan pelajar program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda yang menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian bagi sesi akademik 2023/2024 di universiti berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dana zakat itu adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui skim potongan gaji staf UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.

"Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam asnaf fakir dan miskin.

Iklan

"Kita berterima kasih dan amat menghargai kerjasama erat antara agensi korporat yang terlibat.

Hubungan terjalin antara UMT dan agensi korporat membuka lebih banyak peluang asnaf untuk menerima sumbangan," katanya di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, agihan sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban pelajar dan sebagai tanda keperihatinan UMT kepada pelajar yang memilih UMT sebagai universiti pilihan.

"Kita sedar keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, pelajar yang ditawarkan peluang pengajian juga mungkin resah untuk membuat persediaan pendaftaran pengajian.

"Kecaknaaan warga UMT dalam membantu asnaf patut dipuji kerana jumlah kutipan zakat meningkat saban tahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu UMT telah melaksanakan beberapa inisiatif sebelum ini melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan mengadakan kempen sistem potongan zakat Cukai Kepada Zakat (C2Z) yang diperkenal beberapa tahun lalu.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian, Siti Nasila Rahimi, 20, berkata, sumbangan itu membantu meringankan bebanan keluarganya.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada bantuan daripada agensi-agensi serta sumbangan saudara-mara yang prihatin.

"Kehidupan kami semakin terhimpit apabila ibu mengalami masalah penglihatan selepas berpisah dengan ayah.

Ayah pula tidak boleh melakukan sebarang kerja akibat mengalami masalah kesihatan.

"Sumbangan zakat ini memberi makna besar untuk saya memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

Saya berazam untuk mencipta kejayaan dengan cemerlang dan ingin membantu mengubah nasib keluarga," katanya.