BENTONG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menjual negara atau semata-mata untuk memberi limpahan kekayaan untuk ahli keluarganya.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa pertemuan beliau bersama Perdana Menteri China ketika lawatannya ke negara itu mempunyai agenda tersembunyi.
"Perdana menteri China minta pertemuan makan tengah hari khas (dengan) saya berdua dan bincang. Kita terus terang agar kawasan perairan kita (terpelihara). (Tapi) kata anwar dah jual negeri, bagi Ambalat.
"Sebab tu saya malas nak jawab semua (isu)...saudara, saya masuk keluar penjara kena pukul setengah mati, kemudian jadi PM (Perdana Menteri) nak jual negeri ini ke? nak perkayakan saya, (Datuk Seri Wan) Azizah (Wan Ismail) dan anak-anak? tidak.
"Kita nak gunakan kuasa kita untuk ubah. Bukan semua orang politik gelojoh makan. Bukan semua zalim," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda, di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini pada Isnin.
Bercakap dihadapan kira-kira 1,000 warga Felda Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Anwar selepas 25 tahun beliau percaya masih ramai pihak tidak berpuas hati dan menafikan keupayaannya mentadbir negara untuk menjadi lebih baik khususnya menangani isu salah guna kuasa dan rasuah.
Justeru beliau berikrar untuk menghentikan sikap pemimpin yang sering mengambil kesempatan untuk kepentingan diri mereka.
"Insya-ALLAH saya akan cuba sedaya upaya saya dan rakan-rakan jemaah menteri, kerajaan negeri, kita akan lakukan sebaiknya hentikan perangai org-orang besar, pemimpin-pemimpin yang ambil kesempatan kayakan diri mereka, ambil balak, ambil tanah ambil nadir bumi ambil saham, dan ambil kontrak.
"Saya nak hentikan itu supaya pemimpin baru di Malaysia jaga amanah dan bela nasib rakyat. Saya yakin kalau ada tekad, bagi masa kita akan ubah dan angkat semula Malaysia jadi negara hebat di Asia Tenggara," katanya.