ISTANBUL - Pasukan keselamatan Turkiye telah menahan 20 orang yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Kurdistan yang mengaku bertanggungjawab atas letupan bom bunuh diri pada hujung minggu di ibu negara Ankara, lapor Agensi Berita dpa.
Kementerian Dalam Negeri berkata, kesemua suspek itu ditahan di Istanbul dan wilayah Kirikkale, timur Ankara.
Parti Pekerja Kurdistan yang diharamkan atau PKK mengaku bertanggungjawab atas serangan pada Ahad, di mana seorang penyerang meletupkan dirinya di hadapan pintu masuk Kementerian Dalam Negeri dan seorang lagi mati ditembak oleh polis.
Dua anggota polis cedera ringan berbalas tembakan selepas letupan itu.
Semasa operasi keselamatan pada Isnin, senjata dan peluru dirampas semasa pemeriksaan, kata Kementerian Dalam Negeri.
Tentera Turkiye melakukan serangan udara ke atas kedudukan PKK di utara Iraq pada Ahad malam. Ia mengatakan"sejumlah besar pengganas telah ditumpaskan."
Agensi Berita ANF yang ada kaitan dengan PKK mengesahkan serangan tersebut dan menulis bahawa pada awalnya tiada maklumat tentang kemalangan jiwa. Menurut kenyataan itu, serangan tersebut merosakkan infrastruktur awam. - Bernama