PASIR MAS - Seorang pesara di Kampung Bechah Palas menjadikan halaman rumah sebagai galeri menghimpunkan koleksi antik yang dimiliki lebih 40 tahun lalu.
Lebih menarik, warga emas itu mencipta landskap di beberapa ruang di hadapan rumahnya untuk menyusun barangan berkenaan.
Alias Sulaiman, 67, kini memiliki lebih 1,000 koleksi peribadi pelbagai jenis barangan terdiri daripada motosikal, kereta, tembaga dan peralatan rumah yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Kebanyakan barang itu berusia lebih 50 tahun dan ada yang masih berfungsi dengan baik walaupun sukar mencari alat ganti.
Menurut Alias, minatnya membolehkan dia mengumpul lebih 20 basikal yang kebanyakannya dibeli dari England termasuk jenama terkenal seperti BSA, Robinhood dan Raleigh.
Bagaimanapun, datuk kepada dua cucu itu memberitahu, koleksi paling lama ialah baldi dan pelita berusia lebih 100 tahun milik arwah nenek kepada isterinya.
Sebagai pengumpul barangan lama, Alias tidak kedekut membeli barang yang dirasakan ada nilai kenangan untuk diri sendiri ketika melancong ke beberapa negara termasuk Timur Tengah, Indonesia dan Thailand.
Bapa kepada tiga anak berusia antara 34 hingga 40 tahun itu juga mengakui kesemua koleksi itu disayangi dan tidak mahu menjualnya walaupun sudah ramai yang berminat dan menetapkan harga.
"Barang saya tiada 'nilai' kerana ia bukan sahaja eksklusif untuk diri sendiri malah menjadi satu nostalgia untuk dikenang sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja.
"Ada juga yang mahu meminjamnya untuk kenduri tetapi saya menolak kerana pernah kehilangan koleksi kesayangan selepas diambil untuk tujuan itu," katanya.
Tidak kisah berhabis ribuan ringgit, Alias sentiasa mendapat sokongan isteri, Romah Mamat, 66, yang turut membantu membersihkan koleksi itu.
Selain itu katanya, bagi melengkapkan himpunan barang antiknya, Alias turut mengupah tukang kayu membina kapal laut dengan kos RM800.
"Kesemua barangan ini menjadi terapi dan memberi ketenangan untuk saya menghabiskan masa jika tiada aktiviti penting lain," katanya.