KUALA KRAI - Destinasi pelancongan popular Dabong sekali lagi muncul dengan tarikan baharu yang bakal menjanjikan pengalaman unik melalui eksplorasi menyusuri Sungai Galas sejauh 30 kilometer ke lokasi pembuatan tembikar tanah liat di Kampung Mambong di daerah itu.
Trip Dabong River Cruise yang mengambil masa kira-kira 40 minit itu akan membawa pelancong melalui perjalanan di tengah-tengah hutan tebal menggunakan bot sepanjang 14 meter memuatkan 10 hingga 25 individu pada satu-satu masa.
Pemandu pelancong, Nik Ali Nik Muhammad, 32, berkata, jika bernasib baik, pelancong-pelancong yang menyertai eksplorasi Dabong River Cruise akan dapat menyaksikan gajah liar yang muncul di tebing-tebing sungai dan merakam gambar untuk disimpan sebagai kenangan.
Menurutnya, jelajah akan berhenti rehat di restoran terapung di tepi Sungai Galas sebelum pemandu bot meneruskan perjalanan bot pelancong ke Kampung Bahagia dan Kampung Mambong.
"Kemuncak eksplorasi ini ialah di Kampung Mambong apabila pelancong akan berpeluang untuk melihat secara dekat proses-proses penghasilan dan pembuatan tembikar daripada tanah liat yang diusahakan oleh penduduk tempatan iaitu pesara guru sejak zaman nenek moyangnya,” kata Nik Ali kepada Sinar Harian di sini, pada Isnin.
Pelancong juga, ujarnya diberi peluang untuk cuba menghasilkan sendiri tembikar daripada tanah liat di tempat perusahaan itu dengan tunjuk ajar daripada pemiliknya.
Lebih manis apabila produk-produk pelancongan tradisional seperti pasu kecil, labu sayong dan cerek tanah liat boleh dibeli oleh para pelancong untuk dibawa pulang sebagai cenderamata kepada ahli keluarga serta rakan taulan masing-masing.
"Harga tembikar antara RM1 dan paling mahal yang dijual ialah RM30. Cara ini akan dapat membantu memajukan lagi perusahaan kecil dan sederhana yang diusahakan oleh penduduk setempat selain membantu meningkatkan tahap ekonomi mereka.
"Untuk pengetahuan umum juga, terdapat sekitar 250 keluarga tinggal di Kampung Mambong dan Kampung Bahagia yang terletak sejauh kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuala Krai. Mereka bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot termasuk bagi urusan membawa jenazah ke tanah perkuburan untuk dikebumikan di tanah besar,” kata Nik Ali.