KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Persatuan pengguna di Sabah melihat keputusan kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak, mulai 5 Oktober ini, sebagai langkah tepat dalam mengatasi isu harga dan bekalan di negeri itu.
Mengalu-alukan inisiatif berkenaan, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, ia juga menjadi berita baik untuk pengguna dalam kalangan B40 dan pengusaha makanan di Sabah sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi ketika ini.
Kenaikan harga beras juga akan mempengaruhi kos sara hidup keseluruhan.
Bagaimanapun, orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi kekurangan beras bagi mengelakkan kekecohan," katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah pemberian subsidi itu akan membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram, dan tindakan tersebut diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak adalah terhad.
Ia merupakan antara empat langkah intervensi tambahan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, selain mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke luar bandar termasuk di kedai runcit.
Sementara itu, Setiausaha Negeri Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Anna Liew berkata, usaha kerajaan memberi subsidi itu amat dihargai, namun keberkesanan pelaksanaannya dalam kalangan peniaga dan pengguna perlu diberi perhatian.
Katanya, aktiviti pemantauan perlu ditingkatkan bagi memastikan tidak ada peniaga atau pengguna mengambil kesempatan dengan langkah kerajaan memberi subsidi kepada BPI itu.
Beberapa penduduk Sabah yang ditemui turut menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengatasi isu beras, termasuk memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran pada harga berpatutan.
Rositah Gambusaleh, 40, berharap subsidi itu akan dapat mengurangkan harga beras import di pasaran lebih-lebih lagi ketika ini terdapat juga kenaikan harga barang keperluan lain yang memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.
"Subsidi ini diharap dapat meringankan beban pengguna kerana kos sara hidup semakin meningkat," kata ibu kepada empat anak itu.
Rona Lo, 29, pula berharap penyelarasan dan pemantauan sistematik dilakukan oleh pihak berkaitan supaya subsidi dapat dilaksanakan secara berkesan, termasuk memastikan beras dijual mengikut harga ditetapkan dan bekalan sentiasa mencukupi. - Bernama
Empat langkah intervensi tangani isu beras mampu stabil bekalan - Pakar
KUALA LUMPUR - Empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara ini diyakini mampu menstabilkan semula keadaan bekalan makanan ruji itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, ia merupakan langkah strategik yang amat diperlukan bagi memastikan bekalan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.
"Pada masa sama, ini bagi memastikan bahawa terdapatnya lebihan yang boleh diedarkan kepada pembekal apabila tiba masanya, tanpa mengira sama ada beras putih tempatan (BPT) atau beras putih import (BPI).
"Ini kerana suasana sekarang, cita rasa pasaran bukanlah penentu tetapi bekalan dan pada harga kawalan yang ditetapkan," katanya kepada Bernama.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang media khas mengumumkan, empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, antaranya termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.
Bagi Sabah dan Sarawak, Mohamad berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt bagi membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.
Mengulas lanjut, Rais Hussin menggesa pengilang dan pemborong beras tempatan daripada pihak swasta yang memonopoli rantaian makanan itu untuk bekerjasama dengan FAMA, dalam usaha menyegerakan penyelesaian bekalan beras.
"Ini bererti FAMA akan bersiap siaga membantu meringankan beban kos dan tanggungan pihak swasta dari segi pergudangan dan pengangkutan apabila diperlukan, sebagai contoh ketika berlakunya lebihan bekalan...Ini boleh dilaksanakan menerusi kontrak dan perjanjian antara FAMA dan pihak swasta," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga boleh memainkan peranan sebagai pengendali stok penimbal yang terakhir yang tidak bergantung kepada FAMA.
"Gudang-gudang yang tidak terletak di bawah kawal selia dan bidang kuasa FAMA perlu diwujudkan di bawah agensi baharu iaitu Agensi Keterjaminan Makanan. Agensi baharu ini juga boleh menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak swasta untuk menyimpan stok lebihan sebagai simpanan jangka pendek, pertengahan dan panjang," katanya.
Beliau yang menyambut baik usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi memastikan kemasukan bekalan BPI dari negara itu, menyarankan supaya usaha juga dijalinkan dengan negara pengeluar beras utama seperti Vietnam.
Sementara itu, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Rafii Yusop berkata, subsidi beras putih import juga harus diberi kepada penduduk di Semenanjung berikutan ramai golongan B40 di bandar, selain turut berdepan masalah kekurangan beras tempatan.
"Bagaimanapun, semua intervensi ini adalah untuk jangka pendek sahaja. Untuk keterjaminan makanan negara bagi jangka panjang, maka keluasan tanah sawah perlu ditingkatkan. Produktiviti sawah sedia ada juga perlu ditingkatkan dengan aktiviti latihan dan pengembangan pertanian supaya pesawah dapat mengamalkan amalan pertanian yang terbaik," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj pula berkata, pemberian harga borong kepada pembekal atau subsidi adalah satu langkah yang tepat, namun usaha itu haruslah dipantau bagi memastikan harga jualan kepada pengguna tidak meningkat.
"Dari segi harga kita kena pastikan juga, kalau sudah beri harga borong kepada pembekal atau subsidi beras jadi kerajaan perlu pantau perkara ini...jika harga yang dijual kepada pengguna mahal dan tidak munasabah ia hanya akan membebankan pengguna, jadi harga mestilah pada kadar yang mampu milik,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun pemberian subsidi beras bukanlah langkah efektif untuk jangka masa panjang dan kerajaan tetap perlu memikirkan langkah terbaik bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan beras tempatan secara holistik.
"Pengeluaran beras kita pada waktu ini masih sekitar 60 hingga 70 peratus, kita tidak boleh bergantung terus dengan beras import, jadi untuk pastikan masalah bekalan beras ini dapat diatasi sebaik mungkin, pengeluaran beras perlu ditingkatkan dan usaha ke arah ini mesti dilakukan,” katanya.