'Masa depan tiga pelajar cemerlang makin cerah'

Iklan
Ketiga-tiga pelajar cemerlang terbabit pada tajaan pada Majlis Penyerahan Suar Bestari Bank Rakyat disempurnakan Mohammad Hanis (dua kiri).

MASA depan tiga pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 semakin cerah selepas terpilih menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah lebih RM55,000 pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, penawaran dermasiswa Bank Rakyat itu adalah sebagai inisiatif serampang dua mata dalam membantu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha tersebut sekali gus membantu dalam menjana pembangunan modal insan negara yang mampan apabila pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir dan generasi pewaris kepimpinan negara yang tinggi nilainya.

"Majlis hari ini melambangkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam mengutamakan masyarakat yang memerlukan dengan penuh ihsan dan kasih sayang sejajar dengan konsep Malaysia Madani khususnya bagi memacu pembangunan modal insan dan ummah menerusi pendidikan.

Iklan

"Secara peribadi, saya amat memuji kecekalan dan ketabahan anak-anak ini, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran di usia muda di samping pemergian insan disayangi namun tidak pernah mengalah untuk menimba ilmu pengetahuan demi mengubah nasib keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis dan menyampaikan tajaan pada Majlis Penyerahan Suar Bestari Bank Rakyat di Dewan Tun Abdul Razak, Menara 1, Menara Bank Rakyat di ibu negara pada Selasa.

Mohammad Hanis

Iklan

Beliau berkata, kegigihan ketiga-tiga pelajar cemerlang terbabit juga perlu dicontohi dan diteladani oleh semua yang mana secara tidak langsung kegigihan mereka mengingatkan semua bahawa pendidikan itu amat penting.

"Malah lslam juga menekankan aspek pendidikan sehingga meletakkan golongan berilmu pada tempat yang amat istimewa selain dapat membantu mencapai kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat kelak," tambahnya lagi.

Sementara itu, tiga pelajar berumur 18 tahun terbabit, Muhammad Syahril Saidi, Alia Maisarah Abdullah dan Khairunnisa Che Roslan sebelum ini mengakui gusar akan masa depan mereka ekoran pendapatan keluarga mereka yang agak terhad.

Syahril merupakan anak yatim piatu dan mendapat keputusan 11A menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah lebih RM12,000 dan kini melanjutkan pelajaran di Asasi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) di Bachok, Kelantan selama setahun pada 22 Julai lalu.

Sementara Alia (9A) menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM21,500 bagi tempoh pendidikan selama lima tahun dalam pengkhususan Pendidikan Seni Visual

Pendidikan Rendah, aliran Sekolah Kebangsaan (SK) di Institut Pendidikan Guru (IPG) di Jitra.

Manakala Khairunnisa (9A) pula menerima tawaran dermasiswa pendidikan Bank Rakyat berjumlah RM21,500 bagi tempoh pendidikan selama lima tahun dalam pengkhususan Bahasa Melayu Pendidikan Daerah, aliran Sekolah Kebangsaan (SK) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis.

Alia merupakan anak seorang penoreh getah dan bapa Khairunnisa pula hanya pemandu lori dan mereka merupakan kawan baik dan tinggal serta membesar bersama di Kampung Kubang Perun, Perlis

Melihat pendidikan sebagai jalan keluar mereka tekad menimba ilmu pengetahuan dengan bersungguh-sungguh untuk menggapai impian mereka menjadi sebagai seorang pendidik di masa depan.

"Kami mempunyai minat sama dan kini melanjut pelajaran ke IPG dengan biasiswa Bank Rakyat, insya-ALLAH cita-cita kami untuk menjadi guru satu hari nanti tercapai," kata Khairunnisa ketika mereka ditemui pemberita pada majlis berkenaan.