Pas tidak rayu keputusan petisyen Parlimen Kemaman - Takiyuddin

Iklan
Takiyuddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat susulan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis mengesahkan terdapat unsur rasuah bagi pilihan raya parlimen berkenaan, namun tidak menamakan mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

Jelasnya, parti itu juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

"Sehubungan dengan itu Pas menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Anselm setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi parlimen berkenaan.

Iklan

Pada 3 Januari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Ahmad tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Beliau yang merupakan Pengerusi UMNO Terengganu tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang memperoleh 506 undi.