KUALA LUMPUR -[DIKEMAS KINI] Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan bertunjangkan aktiviti berorientasikan domestik dan akan terus disokong oleh keadaan pasaran buruh dan pelaburan menjelang tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, keadaan pasaran buruh, terutamanya pekerjaan dan gaji, terus bertambah baik, yang menyokong keupayaan isi rumah untuk berbelanja.
"Sementara itu, pelaburan oleh sektor swasta dan awam berkekalan untuk masa akan datang, dan faktor ini akan terus menyokong ekonomi pada 2024,” kata beliau ketika berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13 pada Selasa.
Di samping itu katanya, ekonomi juga akan mendapat manfaat daripada kitaran teknologi yang pulih secara beransur-ansur dan pemulihan dalam permintaan luar.
Abdul Rasheed berkata, Malaysia, bernasib baik kerana tidak menghadapi cabaran inflasi yang teruk seperti ekonomi-ekonomi lain dan inflasi teras terus menyusut kepada 2.5 peratus pada Ogos tahun ini, sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan keadaan penawaran dan permintaan yang bertambah baik.
"Kami menjangkakan inflasi akan terus menurun sejajar dengan momentum kenaikan harga yang perlahan.
Kami akan terus memantau potensi risiko terhadap prospek itu, yang berlaku terutamanya perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi bahan api,” katanya.
Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Abdul Rasheed berkata, ia berada pada tahap prapandemik iaitu 3.0 peratus dan dasar monetari kekal menyokong ekonomi.
Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari tetap berwaspada dengan keadaan yang berubah dan kesannya terhadap inflasi domestik dan juga prospek bagi pertumbuhan.
"Melangkaui jangka masa terdekat, kita harus menyasarkan ke arah mengekalkan pertumbuhan jangka panjang, sambil meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia. Pembaharuan struktur memainkan peranan kritikal dalam mencapai matlamat ini dan kerajaan baru-baru ini telah melaksanakannya, dengan mengeluarkan Rangka Kerja Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya.
Berhubung penipuan (scam) kewangan, Abdul Rasheed berkata, penjenayah kini semakin canggih, menggunakan gelombang teknologi dan aktiviti jenayah juga semakin kompleks, memandangkan penjenayah mengeksploitasi kelemahan yang merentasi sempadan.
"Sehubungan itu, kita semua yang berada dalam industri kewangan, sama ada di sektor awam atau swasta, mesti melengkapkan diri dengan penangkis tipologi jenayah kewangan terkini dan yang baru muncul untuk mengesan, mencegah dan menghapuskan aktiviti haram secara berkesan,” kata beliau.
Abdul Rasheed menambah, bank pusat secara berterusan menyesuaikan rangka kerja kawal selianya dengan menyemak semula dasar, termasuk dokumen-dokumen dasar membabitkan Pengubahan Wang Haram (AML) dan kaedah elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC).
Beliau berkata, dasar-dasar seperti itu akan terus diselaraskan dengan falsafah"berasaskan risiko" kawal selia bank itu dan ia adalah penting, terutamanya memandangkan operasi bank digital di Malaysia akan direalisasikan tidak lama lagi.
Mengenai lima langkah utama yang diperkenalkan tahun lepas untuk institusi kewangan mengukuhkan tindak balas penipuan, Abdul Rasheed berkata, semua bank utama telah melaksanakannya, termasuk mengehadkan aplikasi pengesahan kepada satu peranti dan memperkenalkan"kill switch" untuk pelanggan.
"Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil apabila kami mendapati transaksi perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mengalami pengurangan sebanyak 58 peratus dalam tempoh lima bulan lepas," katanya.
Sejak dilancarkan pada Oktober 2022, NSRC telah menerima lebih 19,000 laporan mengenai kes-kes penipuan, yang telah menyebabkan lebih RM60 juta dibekukan dan mengenal pasti 43,000 keldai akaun.
Mengenai Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang akan dilancarkan menjelang pertengahan 2024, Abdul Rasheed berkata, ia akan memperkemas respons penipuan dalam industri dari hujung ke hujung, daripada pengenalan dan pelaporan awal, kepada pemulihan dana.
"Platform ini akan meningkatkan kecekapan dengan proses yang diautomasikan, membolehkan tindak balas yang lebih pantas untuk membantu mangsa. Kami menjangkakan NFP akan berkembang dengan memasukkan ramalan keldai akaun yang boleh dinilai, analisis lanjutan dan algoritma pengesanan dana,” tambahnya.
IFCTF ke-13, bertemakan"Trust Reinvented: Building a Sustainable Culture of Integrity, Transparency and Accountability”, dianjurkan bersama oleh Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB) dan Kumpulan Rangkaian Pegawai-pegawai Pematuhan dengan sokongan BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
Semasa acara itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia melancarkan kempen kesedaran #JanganKenaScam yang diperbaharui. - Bernama
Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal pada 4-5 peratus tahun ini - Ahmad Maslan
Dalam perkembangan berasingan, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus dikekalkan pada kadar empat hingga lima peratus pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bank Dunia pada Isnin berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2023 daripada unjuran 4.3 peratus pada April tahun ini di tengah-tengah penyusutan permintaan luar.
"Kementerian Kewangan belum membuat perubahan dalam jangkaan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.
"Namun, kami menghargai dan menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.
Analisis mereka adalah bergantung kepada mereka dan kami menghormati analisa mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kesihatan Makro Usahawan Malaysia-China (MCEH 2023) di sini pada Selasa.
Ahmad berkata, wakil Bank Dunia yang mengeluarkan analisa itu menemui beliau dua kali pada beberapa bulan lepas di pejabatnya bagi membincangkan beberapa perkara.