Kerajaan disaran wujud semula LPN tangani isu beras - Akmal

Iklan
Muhammad Akmal

MELAKA - Kerajaan disarankan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat beras dan melenyapkan isu kartel beras di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yakin menerusi penubuhan LPN dapat menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras sekali gus mengurangkan kelompongan yang berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kewujudan LPN dapat berperanan untuk memberi fokus utama mengawal beras supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan besar ketika rakyat dalam keadaan tertekan.

Malah katanya, berharap nasib pesawah juga mendapat pembelaan dengan tidak menurunkan harga padi berbanding menjaga hati pihak yang hanya mahu memikirkan keuntungan besar.

Iklan

"Saya mohon juga sebenarnya bila benda ni berlaku kita perlu wujudkan semula lembaga padi dan beras negara, apabila ada LPN kita ada fokus bagaimana kita nak kawal beras dan padi,

"Bila bercakap tentang keterjaminan makanan, mesti menjamin makanan itu ada dan mesti mampu dibeli, jadi sebab itu perlu ada satu badan yang betul-betul memfokuskan terhadap isu beras ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan kawasan tangkapan ikan nelayan di perairan di daerah Melaka Tengah di Jeti Perlindungan Sumber, Banda Hilir, di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas dan tindakan berat diambil kepada pengkhianat-pengkhianat yang menyebabkan beras tidak sampai kepada rakyat hingga menyusahkan orang ramai.

Menurut beliau, pengawasan dan penguatkuasaan itu penting, dalam masa sama melihat semula bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pengkhianat beras selain menarik permit mereka.

"Sebab itu antara cadangan saya penguatkuasaan mesti tegas berat, tepat dan teliti. Jika tidak akan ada banyak kelonggaran dan kelompongan yang berlaku dalam kartel -kartel beras ni.

"Kalau kita buat pelaksanaan dan penguatkuasaan tegas ini, saya percaya isu beras sekurang-kurangnya dapat kita selesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.