Pasukan khusus MIDA promosi pembangunan sepanjang projek ECRL

Iklan

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan sebuah pasukan khusus untuk mempromosi pembangunan taman-taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

MIDA dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi memudahkan, menilai dan mengkaji semula pelaksanaan Projek-projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor ECRL.

Iklan
Iklan

Pasukan itu akan terlibat dalam merangka strategi pelan tindakan yang meliputi aktiviti promosi dan pertemuan serta libat urus dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk industri domestik.

Penubuhan pasukan khusus itu dibuat susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIDA dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 25 April lepas, di Beijing yang disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang.

Iklan

Menurut MIDA, projek ECRL, yang akan membentuk rangkaian pengangkutan kereta api Timur-Barat, dibangunkan untuk mendorong perdagangan, logistik, import dan eksport, serta aktiviti pembangunan pelancongan di sepanjang penjajaran yang dicadangkan.

Menerusi aliran masuk pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik serta pertumbuhan berpotensi untuk sektor perindustrian, komersil dan pelancongan, kereta api akan menyumbang ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Iklan

Projek pemangkin ini akan mewujudkan spektrum peluang perniagaan dan pekerjaan yang luas, termasuk pembangunan taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang koridor ECRL.

"MIDA bersama-sama CCCC akan mempromosi EAP untuk memaksimumkan potensi kejayaannya dan menjemput pelabur tempatan dan antarabangsa untuk melabur dalam projek berkenaan.

"Kedua-dua pihak juga akan melaksanakan aktiviti kerjasama dan pembangunan kapasiti untuk menggalakkan komuniti industri dan perniagaan menganjurkan atau menyertai dialog, bengkel, seminar dan persidangan, bantuan teknikal untuk mempromosi dan memudahkan pembinaan dan latihan serta berkongsi amalan terbaik," katanya.

Maklumat mengenai pelaksanaan EAP akan diumumkan dari semasa ke semasa, menurut MIDA.- Bernama