Lynas: NGO akan lapor SPRM bulan depan

Iklan
Bin Teet (duduk) tengah memegang dokumen yang akan diserahkan kepada SPRM, Januari ini
KUANTAN - Dokumen 117 halaman yang menyenaraikan penyelewengan jabatan tertentu berkaitan kilang Lynas akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Januari ini.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, dokumen tersebut akan diserahkan kepada pihak berwajib termasuk SPRM selepas dilengkapkan pihaknya kira-kira dua minggu lagi.

Menurutnya, SMSL percaya wujud penyelewengan oleh jabatan dan pihak-pihak tertentu dalam pengurusan sisa nadir bumi Lynas sehingga membolehkan kilang tersebut menyimpan sisa terjadual selama enam tahun.

"Segala bukti akan diserahkan kepada SPRM Januari depan. Jika pihak berkaitan tidak membenarkan Linas simpan sehingga enam tahun, mungkin tidak jadi masalah. Ada perbuatan pihak tertentu yang boleh kita rujuk kepada SPRM, ini sangat mustahak.

"Dalam sisa terjadual tersebut ada logam berat yang boleh serap dalam tanah dan mencemari air di bawah tanah. Ada beberapa tempat sampel diambil dan didapati tercermar,” katanya dalam sidang media di Pejabat Adun Semambu, Jalan Haji Ahmad di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu amat serius dan tidak boleh dipandang ringan semua pihak lebih-lebih lagi di kawasan Gebeng terdapat 60 keluarga yang masih menggunakan air perigi dan jika air tanah tercemar dikhuatiri berlaku perkara tidak diingini.

"Begitu juga dengan sisa-sisa beradioaktif. Tinjauan SMSL mendapati sisa beradioaktif disimpan sehingga melebihi ketinggian bangunan tiga tingkat sedangkan ketinggian yang dibenarkan tiga meter sahaja,” katanya.

Menurutnya, status sisa-sisa tersebut yang belum dilupuskan sehingga enam tahun juga menimbulkan tanda tanya.

"Kami mendapati operasi kawal selia Lynas ini tidak dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Apakah ada banyak lagi peraturan dalam akta yang tidak dipatuhi?,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, SMSL menyokong kenyataan kerajaan yang mencadangkan sisa-sisa yang dihasilkan Lynas dihantar balik ke Australia.

"Syor ini adalah untuk keselamatan pekerja Lynas dan Kuantan. Bukan untuk menganiaya pekerja. Kita mahu lindungi Kuantan. Jangan dipolitikkan dan jangan jadikan isu perkauman.

"Kita bertungkus lumus sebegini adalah untuk memastikan Kuantan terpelihara seperti sediakala, sebelum kedatangan Lynas,” katanya.