SAN FRANCISCO - Facebook hari ini mengumumkan keputusan memperketat akses siaran langsung (live streaming) bagi mengelak perkongsian berleluasa video grafik seperti yang terjadi ketika insiden serangan pengganas di bandar Christchurch, New Zealand pada Mac lalu.
Menurut Naib Presiden Integriti laman Facebook, Guy Rosen, mereka yang melanggar peraturan tertentu termasuk organisasi berbahaya dan individu akan disekat daripada menggunakan aplikasi siaran langsung, Facebook Live.
"Ekoran serangan pengganas di New Zealand, kami mengkaji apa lagi yang boleh dilakukan untuk menghadkan perkhidmatan kami daripada digunakan untuk mendatangkan bahaya atau menyebarkan kebencian," kata Rosen dalam satu kenyataan.
Sesiapa yang melanggar dasar penting di Facebook Live akan digantung daripada menggunakan perkhidmatan tersebut selepas hanya sekali melakukan kesalahan.
Rosen berkata, antara kesalahan tersebut termasuk berkongsi pautan berkaitan kenyataan daripada kumpulan pengganas tanpa konteks.
"Kami merancang untuk memperluas sekatan terhadap lebih banyak bidang dalam masa beberapa minggu akan datang, bermula dengan menghalang mereka yang melakukan kesalahan daripada membuat iklan di Facebook," tambah Rosen.
Menurutnya, inovasi teknikal amat diperlukan bagi mengatasi manipulasi media seperti yang terjadi ketika serangan ke atas dua buah masjid di New Zealand tempoh hari, di mana terdapat pengguna yang mengubah suai video bagi melepasi sistem penapisan.
Facebook turut mengumumkan kerjasama dengan tiga universiti di Amerika Syarikat bagi memajukan teknologi analisis imej dan video yang diperlukan untuk menghalang manipulasi media termasuk 'deepfakes' yang merujuk kepada video yang diubah suai menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Langkah yang diambil bertepatan dengan usaha Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang melancarkan 'Christchurch call' pada satu mesyuarat antarabangsa di Paris hari ini, bertujuan mengekang ekstremisme atas talian. - AFP