PEMANAH berpengalaman negara, Mohd Juwaidi Mazuki menyalahkan peralatannya selepas tersingkir di peringkat suku akhir acara compound individu lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu pada Selasa.
Mohd Juwaidi yang menyasarkan untuk merangkul pingat dalam acara itu terpaksa akur dengan kekalahan kepada Joo Jaehoon dari Korea Selatan 135-148.
Beliau yang membuat penampilan ketiga di Sukan Asia berkata, kekalahan itu adalah disebabkan masalah teknikal yang mengakibatkannya gagal melepaskan panahan dengan baik.
"Saya tiada masalah berdepan dengan dia (Jaehoon) sebab dia pemanah junior. Apa yang berlaku hari ini (Selasa) nak salahkan peralatan macam tak sedap, tetapi memang masalah peralatan, jadi pelepasan saya tak nak keluar.
"Pelepasan mekanikal atau pelepasan ibu jari bila dah jadi hal, di samping waktu pun dah singkat, memang tak dapat nak buat apa. Jadi terpaksa lepaskan, sayang, sebab saya sasarkan acara ini,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku selepas segala peralatan sudah diperiksa dan diyakini berada pada tahap terbaik.
Justeru beliau akan berbincang bersama jurulatihnya untuk memastikan masalah sama tidak lagi berlaku ketika turun beraksi dalam acara compound berpasukan campuran dan berpasukan lelaki pada Rabu serta Khamis.
Dalam acara berpasukan campuran, Mohd Juwaidi akan bergandingan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh sementara dalam acara berpasukan lelaki beliau akan bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz, Mohamad Syafiq Md Ariffin. - Bernama