PASARAN modal Islam perlu dipertingkat berikutan kewangan Islam berpotensi memainkan peranan yang lebih besar dalam pembiayaan untuk projek pembangunan mampan di peringkat global, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Beliau berkata, rangka kerja fasilitatif dan kerjasama aktif dalam kalangan pihak yang berkaitan akan membantu pasaran modal Islam membangun dan mempercepatkan inovasi dalam bidang kemampanan.
"Komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kekal teguh. Dalam beberapa tahun ini, SC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif utama dengan ‘Sustainable and Responsible Investment’ sebagai fokus utama,” kata Awang Adek ketika berucap di Forum Kewangan dan Pelaburan Mampan Islam Asia kelima pada Selasa.
Memetik laporan SDG 2023 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Awang Adek berkata, Malaysia menduduki tangga ke-78 daripada 193 daripada negara anggota PBB dengan markah 69.85 peratus, sedikit tinggi daripada purata serantau iaitu 67.2 peratus.
"Angka-angka ini menyerlahkan isu kritikal yang kami hadapi dan menekankan keperluan untuk tindakan berterusan," katanya.
Oleh itu, Awang Adek menekankan agar memanfaatkan jalinan rapat antara prinsip syariah dan kemampanan.
"Dalam ruang kewangan Islam, kami melihat terdapat peningkatan ketersediaan produk berkaitan kemampanan.
"Ini termasuk pengenalan kepada indeks dan dana alam sekitar, sosial, dan tadbir urus korporat berlandaskan syariah, penubuhan pasaran karbon sukarela Islam pertama di dunia, dan lonjakan dalam terbitan sukuk berkaitan kemampanan,” katanya. - Bernama