KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menerima sumbangan sebanyak lapan motosikal berkuasa tinggi daripada kerajaan negeri untuk tujuan penugasan khas di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, motosikal jenama Harley Davidson itu akan digunakan untuk penugasan khas bermula Jumaat ini.
"Memang kita ada kekurangan (motosikal) ekoran daripada perkembangan pembangunan negara kita, kawasan kita semakin luas, jalan raya semakin banyak dan keadaan motosikal sekarang tidak dapat menampung 100 peratus penugasan tetapi masih boleh digerakkan untuk memastikan keadaan lalu lintas di Sabah ini dapat kita tangani.
"Dalam masa sama kita masih mampu gerakkan motosikal ini untuk kegunaan-kegunaan mengiring bagaimanapun memang kita mengalami kekurangan motosikal sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan motosikal di pekarangan Menara Kinabalu pada Selasa.
Diminta mengulas lanjut mengenai pemilihan jenama Harley Davidson, Jauteh berkata, kenderaan itu lebih mudah diperoleh dalam tempoh masa yang singkat untuk kegunaan PDRM Sabah.
"Kita pun sebenarnya sudah ada jenama lain, jadi kita pilih yang ini memandangkan inilah yang kita boleh dapat dalam masa terdekat untuk di Sabah.
"Sebab itu kita pilih Harley Davidson sebab ia mampu membekalkan lapan biji motosikal dalam masa yang singkat," katanya.
Sehubungan itu, Jauteh memberi jaminan bahawa kesemua motosikal itu akan digunakan untuk penugasan maksimum bagi memastikan keselamatan dan juga keadaan motosikal untuk penugasan khas dapat berjalan dengan lancar.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.