BENTONG - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam menyifatkan kehadiran bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob memberikan suntikan semangat untuk beliau berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Amizar juga mengakui terharu apabila dimaklumkan Adnan akan turut sama berkempen menjelang hari pengundian.
Menurut Amizar, bekas Menteri Besar Pahang itu banyak memberi ilmu dan panduan kepada beliau bagaimana mahu bertemu masyarakat serta pengundi.
"Suntikan semangat? Ya itu sangat-sangat terharu, kerana kesediaannya. Beliau (Adnan) ada menghubungi saya selepas beliau menghubungi MB (Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), kemudian mengatakan beliau akan turut serta dalam kempen
"Jadi, kehadiran Long Nan (gelaran Adnan) sangat menaikkan semangat saya," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Kemasul di sini pada Selasa.
Amizar berkata, liputan kempen setakat ini mencecah 80 peratus dan jenteranya sedang melipatgandakan usaha untuk bertemu semua pengundi di kawasan DUN Pelangai.
Beliau mengakui tidak mampu untuk bertemu 16,000 pengundi, namun sasaran untuk berjumpa penduduk di kampung-kampung sudah dilaksanakan sebaiknya.
"Setakat ini (kempen) baru masuk gear tiga, kalau hendak masuk gear lima itu kena tunggu dalam tiga atau empat hari lagi.
"Jadi ini bermaksud kita akan buat pecutan terakhir sebelum hari mengundi pada Sabtu ini," katanya.
Mengulas mengenai persaingan sengit dengan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, Amizar berkata, persaingan sengit atau tidak, biar pengundi yang tentukan.
"Sengit atau tidak, bergantung pada pengundi kerana ini adalah PRK bukan PRU (Pilihan Raya Umum). PRK ini satu negara fokuskan di DUN Pelangai.
"Tapi yang nampak sengitnya adalah kita-kita yang sengit. Tapi saya dengan calon tiada masalah," katanya.