KUALA LUMPUR - Domain angkasa menawarkan bidang berpotensi baharu dalam kerjasama antara India dan Malaysia, menurut Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy.
"Kepakaran India yang telah terbukti dalam bidang seperti penderiaan jauh, misi satelit kecil dan aplikasi geospatial telah memberi manfaat kepada lebih 20 pakar angkasa lepas Malaysia selama ini,” kata Reddy dalam artikelnya bertajuk '‘Paving the pathways for an Asian Century- India’s Chandrayaan-3 Success’ yang disediakan kepada Bernama.
Beliau turut memuji kejayaan misi India ke Bulan, Chandrayaan-3, baru-baru ini yang beliau percaya akan mendorong lagi usaha kerjasama ke arah mengukuhkan Abad Asia - tempoh yang dijangkakan mencirikan peranan China, India dan negara jiran mereka dalam politik dan ekonomi.
Dalam artikel itu, Reddy menekankan mengenai komitmen India terhadap kebajikan global serta peranannya dalam menangani cabaran global.
Diplomat itu berkata, program kerjasama angkasa antarabangsa India merangkumi pelancaran sejumlah besar satelit asing yang menawarkan inisiatif pembinaan kapasiti dan latihan.
Misi Chandrayaan-3 India, yang berjaya mendarat di wilayah kutub selatan Bulan pada 23 Ogos, menandakan peristiwa penting dalam sejarah penerokaan angkasa lepas dan meletakkan India sebagai negara pertama yang mendarat di kawasan yang kurang diterokai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, atas kejayaan misi itu dan meraikannya sebagai kejayaan, bukan sahaja untuk India, malah untuk seluruh Asia.
Kabinet Kesatuan India, yang mengiktiraf kejayaan bersejarah ini, meluluskan resolusi yang menetapkan 23 Ogos setiap tahun sebagai"Hari Angkasa Negara" sempena meraikan kejayaan Misi Chandrayaan-3 ke Bulan. - Bernama