KUALA TERENGGANU - Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim mendakwa terdapat aktiviti mencampurkan beras tempatan dan beras import sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan beras tempatan di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kejadian tersebut namun tindakan susulan tidak dapat dijalankan berikutan ia bukan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Pengeluaran beras seluruh negara kita mencakupi 67 peratus manakala import pula sebanyak 33 peratus. Jadi bagaimana 67 peratus boleh hilang dalam pasaran.
"Ini isu yang timbul dan kenapa jual beras dengan harga super import sebab beras import tiada harga kawalan sedangkan harga beras tempatan masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram (kg).
"Jadi berdasarkan tinjauan saya memang dapati beras tempatan dicampur dengan beras import iaitu sebanyak 70 peratus beras tempatan dan 30 peratus beras import. Kemudian beras dicampur itu dilabel sebagai beras super import yang dijual pada harga hampir RM40," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Azman menyatakan kerajaan negeri berperanan sehabis mungkin dalam meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini termasuk menaik taraf sistem pengairan, meningkatkan kesuburan tanah selain menyediakan tabung bencana pertanian kepada petani.
Bagaimanapun, Azman mendakwa peranan kartel sejak dari peringkat awal telah mempengaruhi pengeluaran beras tempatan.
"Akhirnya beras tempatan dikeluarkan hasil penat lelah petani dilabel sebagai beras import. Negeri tiada sebarang bidang kuasa maka kerajaan Persekutuan yang perlu ambil tindakan.
"Sekarang ini tindakan susulan daripada pihak berkuasa. Negeri tiada kuasa dari segi penguatkuasaan.
"Perkara ini banyak kali kita dah maklum pada kementerian sama ada secara langsung dan tak langsung. Pelbagai forum dihadiri. Hari ini kita maklumkan (sidang DUN) supaya mendapat perhatian," ujarnya.
Pada Isnin, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh membongkar modus operandi kartel yang menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.
Dalam pendedahan terbaharunya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, terdapat perbezaan antara beras super spesial tempatan (SST) dan beras hancur.
Pada 25 September lepas, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad meminta kerajaan untuk tidak ‘menyebelahi’ kartel dalam isu bekalan beras yang tidak mencukupi di pasaran sebaliknya memilih untuk melaksanakan monopoli atau pasaran terbuka.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, dalam isu ini, dua pilihan yang ada adalah melakukan pasaran terbuka bertujuan untuk menambah bekalan dengan membuka banyak kilang dan pemborong bukan kartel agar persaingan tersebut dapat membaiki pasaran.
Ujarnya, pilihan kedua ialah kerajaan melaksanakan monopoli sepenuhnya kerana sudah banyak kali kartel pengilang dan pemborong gagal menyelesaikan isu berkenaan.