BENTONG - Kejutan istimewa dengan penampilan bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob yang turun padang buat julung kalinya untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam di sini, pada Selasa.
Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai selama 36 tahun itu seakan memberi restu terhadap Amizar yang bertanding di DUN tersebut.
Beliau kelihatan tenang dan bersemangat menyantuni orang ramai di kediaman Ketua UMNO Cawangan Felda Kemasul, Roslan Alias di rancangan tersebut.
Ketika ditemui, Adnan memberitahu, beliau memilih minggu kedua kempen untuk turun padang membantu Amizar.
"Saya dah maklumkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bahawa saya akan turun padang pada minggu kedua kerana minggu pertama ada banyak urusan peribadi.
"Jadi bermula hari ini, Rabu, Khamis, Jumaat, saya akan turun dan telah atur 10 hingga 11 acara. Modus operandi saya mudah, buat jamuan tengah hari, jamuan teh, sembang-sembang santai, bukan kempen berapi-api," tegas Adnan.
Ujar Adnan lagi, walaupun tidak turun padang sebelum ini, beliau menerima banyak maklumat mengenai kempen pilihan raya kecil (PRK) itu daripada pelbagai pihak.
"Saya banyak terima maklumat dalam telefon, ada dari ketua-ketua cawangan, YB-YB yang turun termasuk dari kedua-dua pihak (BN dan PN) yang memberi pandangan.
"Setakat hari ini saya boleh katakan 50:50 boleh lah tapi ada dua faktor. Nak cakap tak boleh, ini rahsia, kalau beritahu nanti kedua-dua pihak kalah," tambah pemimpin veteran UMNO tersebut.
Mengulas isu pembangunan di Pelangai yang menjadi modal lawan, bekas Ketua UMNO Bahagian Bentong itu menyifatkan telah banyak perubahan pembangunan dialami kawasan itu berbanding dahulu.
"Saya ingin jawab satu dua apa yang viral oleh kawan saya, Pelangai tiada apa, bank tiada,tapi takkan lah PM, MB nak bawa turun KLCC, Bank Negara, KLIA ke Pelangai.
"Ini bukan caranya, tapi dengan keamanan, boleh cari makan dan bila ada masalah, kerajaan boleh membantu," jelas beliau yang pernah menjadi Menteri Besar selama 19 tahun.
Sementara itu, Adnan turut mengakui calon BN dan calon PN mendapat sambutan baik orang ramai.
"Saya dapat tahu kempen berjalan dengan baik oleh kedua-dua pihak, sambutan orang ramai pun sama hingga nak buat penilaian agak sukar.
"Tapi kita yang tua-tua ini dapat maklumat yang lain untuk tentukan siapa yang jadi pilihan," ujar Adnan yang berharap pengundi berfikir masa depan untuk membuat pilihan pada 7 Oktober ini
Menurutnya, tiada paksaan kepada pengundi untuk memilih, namun berharap mereka membuat pilihan terbaik demi masa depan serta pembangunan di Pelangai yang hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan Pusat.
"Calon pun (Amizar), saya sudah kenal lama. Orang yang tidak menunjuk diri, tidak sombong. Saya yakin jika beliau dipilih boleh membantu, menyertai kepimpinan menteri besar, jadi banyak perkara boleh dilakukan nanti," jelas Adnan.