Krisis bekalan: Wan Ahmad Fayhsal syor contohi formula Hamzah

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan wajar mencontohi formula program Jualan Sentuhan Rakyat yang dilaksanakan Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika memegang jawatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menyelesaikan krisis bekalan barangan asas sebelum ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kaedah itu berupaya mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat, peniaga termasuk pemain industri gula mahupun beras.

Iklan
Iklan

"Pemain utama industri gula pernah menekan kerajaan supaya dinaikkan harga sebanyak 0.29 sen sekilogram. Bukan sahaja tekanan itu tidak dilayan, bahkan bekalan barang itu juga dipastikan ada, hasil kaedah penyelesaian berkenaan.

"Begitu juga ketika harga barangan dunia melambung. Malaysia bukan sahaja kekal menetapkan harga siling, tetapi diperkenalkan pula program Jualan Sentuhan Rakyat di 222 kawasan Parlimen untuk dua kali setiap bulan.

Iklan

"Hasilnya formula Hamzah ketika itu dapat meredakan kegelisahan dan menghadirkan senyuman dalam kalangan peniaga dan pemain industri,” katanya di Facebook pada Selasa.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, demi kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu mengetepikan ego dengan mengubah suai atau penjenamaan semula formula Setiausaha Agung Bersatu itu.

Iklan

"Soal perut rakyat adalah kayu ukur terpenting dalam menilai gagal atau tidak sesebuah kerajaan. Apa makna gah bercakap di pentas dunia tetapi rakyat terpaksa berebut demi sekampit beras.

"Sebenarnya, ketika negara berdepan dengan krisis, kerajaan perlu punyai jiwa besar. Tak usah pandang terlalu jauh ke negara luar sebaliknya intailah apa terbaik dan terbukti berkesan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, daripada aspek kelangsungan jangka panjang, sudah tiba masanya pengeluaran makanan tahap sara diri (SSL) menjadi agenda utama negara.

"Produktiviti sektor pertanian negara mesti ditingkatkan dan tumpuan mesti diberikan secara agresif kepada aspek pembangunan rantaian bekalan serta pasaran yang sihat dan adil,” ujarnya.