RM3.45 juta diperuntukkan hadapi banjir di Terengganu

Iklan
Hanafiah

KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.948 juta ialah daripada kerajaan Persekutuan manakala RM1.5 juta lagi dari kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan berkenaan bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat kepada mangsa banjir.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu akan menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang.

Iklan

"Selain itu 10 mini depoh/kontena, lapan stor daerah dan 152 pengkalan hadapan di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu berkat, Hulu Terengganu mempunyai pengkalan hadapan tertinggi iaitu 55 lokasi diikuti Kemaman (22); Dungun (21); Setiu (19); Marang (15); Besut (15) dan Kuala Nerus (empat) manakala semua daerah mempunyai stor di kawasan masing-masing.

Iklan

Jelasnya, bekalan keperluan mangsa bencana pula akan mula diagihkan bermula minggu depan ke mini depoh, stor daerah dan pengkalan hadapan termasuk di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Tambah beliau, pada tahun ini, pusat pemindahan sementara (PPS) kekal dengan jumlah yang sama iaitu sebanyak 580 lokasi.

"Selain itu, latihan simulasi banjir di peringkat daerah juga telah selesai dilakukan. Jadi kita berharap semuanya akan berjalan lancar apabila banjir melanda nanti.

"Walaupun banjir telah menjadi 'rutin tahunan' di Terengganu, penduduk masih perlu diingatkan agar bersiap sedia bagi melakukan persiapan rapi terutama sekiranya diarahkan berpindah ke PPS," jelasnya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, antara cabaran sepanjang bencana banjir berlaku pada tahun-tahun sebelum ini ialah keengganan penduduk terjejas untuk berpindah ke PPS dengan lebih awal.

"Masih ada yang mahu berpindah saat-saat akhir ketika air sudah semakin tinggi sedangkan arahan berpindah telah dikeluarkan lebih awal.

"Jadi pada tahun ini, kita harap semua penduduk terjejas dapat memberi kerjasama kerana tidak mahu menyukarkan agensi penyelamat dengan situasi bahaya terutama apabila perpindahan berlaku pada waktu malam," katanya.