Tetapkan had penyimpanan beras, elak penyelewengan - Cake

Iklan
Perlu ada garis panduan khusus berhubung penyimpanan beras yang dibenarkan. - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menetapkan had penyimpanan beras yang dibenarkan bagi setiap musim penuaian agar tiada pihak yang menyimpan secara berlebihan sehingga mengurangkan bekalan di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, penyimpanan beras tidak dapat dielakkan oleh pengilang namun perlu ada garis panduan khusus berhubung penyimpanan yang dibenarkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana penuaian padi berlaku dua kali setahun dan memerlukan penyimpanan bagi memenuhi bekalan dalam tempoh enam bulan sebelum proses tuaian seterusnya.

"Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyorok beras.

Iklan

"Namun diakui sememangnya berlaku penyimpanan beras sebab perlu simpanan yang mencukupi untuk bekalan semusim. Difahamkan, simpanan beras memang dilakukan oleh pengilang, tetapi peruncit tidak dibenarkan,” katanya di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menyembunyikan stok beras akan diheret ke muka pengadilan.

Iklan

Menurut beliau, badan penguatkuasaan telah diarahkan mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.

Mohamad Yusrizal berkata, langkah itu bertepatan dan diharap tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pengilang, pemborong atau peruncit yang menyimpan stok berlebihan sehingga mengurangkan bekalan di pasaran dapat menamatkan kemelut tersebut.

"Pada masa sama diharap hasil tuaian padi terbaru dipantau rapi oleh Kawal Selia Padi dan Beras supaya bekalan kembali mencukupi untuk rakyat dan tak berlaku lagi penyelewengan seperti menukar kampit beras putih tempatan kepada beras putih import,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar rekod tuaian dan penjualan padi diumum secara terbuka bagi mengelak berlaku penyelewengan.

"Isu sekarang ialah bekalan beras tiada di pasaran. Kita harap penguatkuasaan terhadap penyelewengan beras antaranya kes menukar kampit beras putih tempatan kepada import disiasat.

"Cake syak penukaran pek ini masih berlaku kerana bekalan beras tempatan masih tiada dalam pasaran. Harap siasatan diteruskan, cari dalang terlibat dan kenakan tindakan perundangan terhadap pelaku,” tegasnya.