Menteri Agama saran agih terjemahan al-Quran kepada bukan Islam

Iklan
Mohd Na’im (tengah) dalam sidang akhbar pada Selasa.

KUALA KANGSAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mencadangkan agihan al-Quran terjemahan dibuat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu boleh dijadikan usaha awal membina kefahaman mengenai agama Islam menerusi kaca mata kitab suci al-Quran selain mengelak berlakunya krisis Islamofobia.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks kita di Malaysia, kita ada buat terjemahan al-Quran dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Tamil jadi boleh kita agihkan kepada orang bukan Islam dalam negara kita.

"Harapannya supaya pemahaman yang mereka peroleh itu dapat membantu kita membina satu masyarakat Madani yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pemikiran Mufti Harussani di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Naib Cancelor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sobri Wan Yusuf.

Mohd Na’im berkata, langkah tersebut juga selari dengan usaha kerajaan yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden.

Iklan

Katanya, sumbangan satu juta naskah al-Quran tersebut kini dalam proses percetakan dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Yayasan Restu.

"Daripada kita agih begitu banyak ke luar negara, kita boleh buat agihan juga kepada orang bukan Islam dalam negara ini.

"Semoga dengan bacaan al-Quran, mereka lebih memahami Islam sebagai satu agama yang penuh rahmah, harmoni dan kasih sayang kepada manusia sejagat," katanya.