'MEMBINGUNGKAN'. Demikian rumusan yang diberikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal terhadap prestasi skuad hoki lelaki negara yang gagal mara ke separuh akhir Sukan Asia Hangzhou 2022.
Beliau berkata, Malaysia sepatutnya mampu menewaskan tuan rumah kerana China bukan antara pencabar terkuat dalam acara hoki, namun Speedy Tigers hanya mampu mencatatkan keputusan seri 4-4 dalam perlawanan pada Isnin.
Keputusan itu menyaksikan tuan rumah muncul juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas meraih 13 mata untuk berdepan juara bertahan Jepun di separuh akhir pada Rabu.
Menurut Subahan, yang dikatakan membingungkan adalah kerana pasukan negara telah mempamerkan prestasi cemerlang dengan menjulang Piala Sultan Azlan Shah serta layak ke final Piala Asia dan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara (ACT) 2023, namun gagal mengetepikan China yang menduduki ranking lebih rendah berbanding Malaysia.
"Skuad negara telah mempamerkan aksi membanggakan tahun ini dan kita juga kalah tipis dengan India minggu lepas. Tetapi kenapa kita tidak boleh kalahkan China? Kita tidak boleh ramal bila boleh menang dan bila boleh kalah.
"Apabila disasarkan untuk bermain dengan baik mereka tidak bermain dengan baik, jadi bagi kita ini satu yang amat membingungkan dan kita risau apa nak buat untuk mereka. Pemain perlu menjawab kenapa prestasi mengecewakan diri mereka dan KHM," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Subahan berkata, segala keperluan dan persiapan telah dilakukan termasuk perlawanan antarabangsa selain pasukan turut dibarisi pemain berpengalaman namun masih tidak dapat mengekalkan tahap konsistensi dalam perlawanan.
Justeru, beliau berharap para pemain dapat menebus kekecewaan dengan memenangi perlawanan berdepan Pakistan pada Jumaat ini, bagi penentuan tempat kelima dan keenam.
Sementara itu, Subahan berkata, beliau enggan menuding jari kepada ketua jurulatih kebangsaan A. Arul Selvaraj dan masih menaruh harapan terhadap jurulatih berkenaan untuk membimbing pasukan bagi persiapan Kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Oman pada Januari depan.
"Kita akan bermain untuk kelayakan pada Januari ini, kita ada dua bulan untuk fikir bagaimana untuk layak ke Olimpik. Saya akan kekalkan Arul sebagai jurulatih dan saya yakin dia akan bawa sesuatu buat skuad negara.
"Saya mohon satu laporan lengkap daripada pengurusan pasukan kebangsaan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dan Arul, saya perlu bentangkan pada jawatankuasa dan kita akan bincang apa pelru buat untuk perbaiki prestasi," katanya.
Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pasukan hoki kebangsaan seolah-olah mempunyai 'penyakit' tidak mampu mengawal tekanan ketika beraksi di gelanggang.
"Penyakit ini kita boleh kaitkan dengan kegagalan melawan tekanan. Detik minit-minit terakhir dan perlu berhadapan pihak lawan itu perkara biasa, tetapi kita tidak menyerap dan mengawal tekanan tersebut. Pada akhirnya, kita seolah-olah meniaga dan baru untung sedikit, kita meraikan dan rugi," katanya.
Beliau menegaskan skuad negara perlu menambah baik rentak permainan lebih-lebih lagi dari segi strategi dan taktikal selain perlu mendapatkan sokongan psikologi dalam usaha memastikan skuad negara mampu bangkit untuk berdepan Kelayakan Sukan Olimpik kelak.
"Kalau kita tidak memperkukuh dan memperbaiki kelemahan atau masalah kelestarian ini mungkin kita akan hilang lagi dari radar Sukan Olimpik," katanya. - Bernama