Sukan Asia: Pandelela raih pingat acara individu selepas 13 tahun

Iklan
Pandelela Rinong - Foto fail Bernama

SELEPAS 13 tahun, penerjun elit negara, Datuk Pandelela Rinong kembali meraih pingat acara individu di temasya Sukan Asia apabila merangkul gangsa pada final 10 meter (m) platform wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, pada Selasa.

Pada saingan final itu, Pandelela yang membuat penampilan keempatnya di Sukan Asia menerima tentangan sengit penerjun Jepun Matsuri Arai untuk posisi ketiga, selepas dua wakil China, Quan Hongchan dan Chen Yuxi jauh meninggalkan mereka di kedudukan dua teratas.

Iklan
Iklan

Ketenangan ditunjukkan Pandelela pada dua terjunan terakhir membantunya mengesahkan gangsa selepas mengumpul keseluruhan 280.50 mata di belakang Quan yang merangkul emas (438.20 mata) dan Chen membawa pulang perak (435.65 mata).

Pencapaian itu menyaksikan beliau mengulangi kejayaan merangkul gangsa dalam acara sama pada penampilan pertamanya di Guangzhou, China pada 2010.

Iklan

"Saya terkejut, sebab banyak kali saya cuba dapatkan pingat dalam acara individu di Sukan Asia, tetapi ada satu kali tak dapat (edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan), ada satu kali kena tarik diri saat akhir sebab kecederaan (edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia),” katanya.

Atlet berusia 30 tahun itu ternyata tidak dapat menahan air mata kegembiraan sepanjang sesi temu bual dengan media di sini.

Iklan

Pandelela, yang turut meraih gangsa ketika bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita Sabtu lepas, berkata, beliau terpaksa melawan rasa tidak sihat di sebelah pagi tadi untuk beraksi di final.

Katanya, situasi itu memaksa beliau mengambil ubat dan mendapatkan urutan daripada pegawai Institut Sukan Negara (ISN) untuk kekal cergas beraksi di sebelah petang.

"Saya mengalami selesema selepas acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah, saya juga nak berterima kasih dengan Bitah sebab kami menang pingat tempoh hari dan hari ini saya boleh buat terjunan lebih tenang,” katanya.

Gangsa yang diraih Pandelela itu menyaksikan kem terjun negara menghadiahkan keseluruhan satu perak dan empat gangsa dengan sukan terjun akan menutup tirai saingannya esok. - Bernama