BENTONG - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan terdapat segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan lompat parti untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) jika parti itu memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Menurutnya, ia adalah satu fitnah yang direka oleh pihak lawan untuk menggoyahkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
"Saya baru dapat mesej hari ini daripada semua ADUN BN dan PH (Pakatan Harapan) serta barisan exco telah menyatakan sokongan padu terhadap saya... macam mana perkara ini timbul.
"Jadi itu adalah usaha mereka wujudkan sentimen supaya pengundi DUN Pelangai percaya, walhal perkara ini tidak berlaku sedangkan ia fitnah.. ada yang lompat sebagainya," kata beliau.
Wan Rosdy ditemui ketika sesi jelajah mesra Jualan Makmur Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Chemomoi di sini pada Selasa.
Sebelum ini, tular sebuah poster memaparkan wajah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang dan jika berjaya di PRK DUN Pelangai, Perikatan Nasional (PN) akan merampas Pahang dengan cara tebuk atap ikut pintu belakang dengan timbul desas-desus terdapat empat ADUN daripada BN akan lompat parti untuk menyertai PN.
Tambah Wan Rosdy, situasi itu menunjukkan mereka (lawan) sanggup berbuat apa sahaja untuk bercakap perkara yang boleh menimbulkan persepsi.
"Alhamdulillah saya berterima kasih kepada semua ADUN yang secara spontan tanpa pengetahuan menyokong penuh saya.
"Ini kerana mereka tahu PN mainkan isu sebegini untuk pengundi di Pelangai goyang dan beralih sokongan," tambah beliau lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan momentum dan kehadiran pengundi bertambah baik namun beliau menegaskan terus meningkatkan usaha iaitu selain ceramah turut pergi rumah ke rumah.