KEM skuasy dijangka menambah koleksi pingat buat kontinjen Malaysia selepas mengesahkan tiga slot separuh akhir acara individu di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Selasa.
Pemain perseorangan lelaki Ng Eain Yow meletakkan diri dalam radar pemburuan pingat selepas mengetepikan Abdullah Almezayen dari Kuwait 14-12, 11-6, 11-1 di suku akhir berlangsung di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Iklan
Iklan
Wakil negara yang diletakkan sebagai pilihan utama menempah pertemuan dengan Abdullah Al-Tamimi dari Qatar, yang menyingkirkan seorang lagi wakil negara Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-2, 11-7, 11-2.
Dalam acara perseorangan wanita pula, S. Sivasangari mengecewakan pemain Korea Selatan Heo Mingyeong 11-4, 11-2, 11-8 untuk mara ke separuh akhir berdepan Satomi Watanabe dari Jepun yang mengalahkan wakil India, Tanvi Khannad 11-5, 11-6, 14-12.
Beregu campuran negara itu akan berdepan wakil India Abhay Singh-Anahat Singh, yang sebelum itu menundukkan pasangan Lee Dongjun-Yang Yeonsoo dari Korea Selatan 11-4, 8-11, 11-1.
Bagaimanapun nasib berbeza buat naib juara Kejohanan Remaja Dunia Aira Azman apabila terkandas di suku akhir, tewas kepada pemain Hong Kong Chan Sin Yuk 7-11, 4-11, 4-11.
Terdahulu, Ivan Yuen-Rachel Arnold pula terlepas slot ke suku akhir apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan C, tewas tipis kepada Wong Chi Him-Lee Ka Yi dari Hong Kong 9-11, 10-11.
Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Nafzahizam Mohd Adnan berharap para pemain akan meneruskan rentak cemerlang mereka pada perlawanan esok untuk memburu slot ke final. Pasukan skuasy wanita menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan manakala lelaki menyumbang gangsa. - Bernama